MEXICO, 22 MEI – Beratus-ratus haiwan termasuk gajah, buaya, singa dan harimau telah dipindahkan dari kawasan kartel Mexico ke rumah baharu dalam operasi yang dikenali sebagai ‘Bahtera Nuh abad ke-21.’
Spesies yang diangkut, juga termasuk burung eksotik, telah ditempatkan di kawasan perlindungan haiwan Ostok berhampiran Culiacan, ibu negeri Sinaloa, rumah kepada salah satu kumpulan dadah paling berkuasa di negara itu.
Pentadbir tempat perlindungan haiwan itu berkata kepada pemberita Selasa lalu selama berbulan-bulan mereka telah menerima ancaman, dengan sebuah trak dan peralatan dicuri.
“Kami akan pergi kerana kami menghadapi risiko sesuatu berlaku kepada saya dan pasukan,” kata Pengarah Perlindungan, Ernesto Zazueta.
Secara keseluruhan, kira-kira 700 ekor haiwan telah dipindahkan melalui jalan raya ke sebuah ladang di pantai.
“Kenderaan bagi haiwan ini adalah sejenis Bahtera Nuh abad ke-21. Tetapi kali ini, haiwan tersebut tidak melarikan diri daripada banjir, akan tetapi akan berasa tidak selamat, ketakutan dan kebimbangan,” kata Zazueta.
Sejak September, Culiacan telah menjadi pusat perang berdarah antara geng kartel dadah Sinaloa yang telah menyebabkan lebih 1,200 orang mati dan 1,400 hilang, menurut angka rasmi. – AFP
