SYDNEY, 21 SEPT – Kira-kira 25 ekor ikan paus telah mati manakala saintis-saintis cuba menyelamat 250 ekor lagi yang terkandas di perairan berhampiran pantai di Pulau Tasmania, Australia, kata para pegawai hari ini.
Jabatan alam sekitar Tasmania berkata paus-paus itu terkandas di beting pasir di Pelabuhan Macquarie, di pantai barat pulau yang berceranggah dan tidak ramai penduduk.
Nic Deka, yang mengendalikan respons insiden itu berkata dua kumpulan besar terkandas di beting pasir beberapa ratus meter jauhnya dalam pelabuhan itu.
“Haiwan-haiwan tersebut dalam air namun amat sukar untuk melihat berapa banyak ikan paus yang sudah mati atau bagaimana keadaannya,” ujarnya kepada wartawan dekat bandar Strahan.
Mamalia itu dipercayai ikan paus pandu namun jabatan alam sekitar belum lagi mengesahkan spesies tersebut.
Polis berada di lokasi dan pakar-pakar marin sedang menilai situasi itu sambil merancang untuk melancarkan misi penyelamatan awal pagi esok. – AFP
