Friday, March 7, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan kanak-kanak mati kebuluran di Sudan

    KAHERAH, 22 OGOS – Kebuluran telah membunuh sekurang-kurangnya 498 kanak-kanak dan kemungkinan ratusan lagi di Sudan empat bulan selepas peperangan meletus antara jeneral yang bersaing, kata Save the Children, hari ini.

    Konflik antara tentera di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera yang dipimpin oleh Mohamed Hamdan Daglo tercetus pada 15 April.

    Kira-kira 5,000 orang telah terbunuh, menurut Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata, dan lebih daripada empat juta orang telah diusir.

    “Sekurang-kurangnya 498 kanak-kanak di Sudan dan kemungkinan ratusan lagi mati akibat kelaparan, termasuk 24 anak damit di rumah anak yatim negeri,” kata Save the Children dalam satu kenyataan.

    Badan amal Britain itu berkata ia terpaksa menutup 57 pusat pemakanannya sejak peperangan bermula dan stok semakin berkurangan dalam 108 pusat yang masih beroperasi.

    “Kami tidak pernah membayangkan bahawa kami akan melihat kanak-kanak mati kelaparan dalam jumlah yang banyak, tetapi kini ia adalah realiti di Sudan,” kata pengarah Save the Children negara Sudan, Arif Noor.

    “Kanak-kanak yang sakit tenat tiba dalam pelukan ibu dan bapa yang terdesak di pusat pemakanan di seluruh negara dan kakitangan kami hanya mempunyai pilihan terhad tentang cara merawat mereka.”

    Dalam satu kenyataan minggu lalu, ketua-ketua 20 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa memberi amaran bahawa lebih enam juta rakyat Sudan berada di ambang kebuluran.

    Keganasan berterusan hari ini, terutamanya di Khartoum dan Darfur, wilayah barat yang luas yang menempatkan satu perempat daripada 48 juta penduduk Sudan. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda