Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan koala dikhuatiri mati di Australia

    SYDNEY, 30 OKT – Ratusan beruang koala dikhuatiri mati terbakar dalam kebakaran hutan di pantai timur Australia, kata pihak berkuasa hari ini.

    Satu kebakaran hutan dipercayai berpunca daripada panahan petir Sabtu lalu, kira-kira 400 kilometer di utara Sydney sehingga kini sudah pun memusnahkan kawasan melebihi 2,000 hektar dengan pihak berkuasa berusaha mengawalnya daripada terus merebak.

    Penyelamat hidupan liar di utara New South Wales bagaimanapun berdepan kebimbangan bahawa kebakaran itu akan memusnahkan populasi spesies beruang koala yang jarang ditemui yang habitatnya adalah di kawasan kebakaran.

    “Semua beruang koala ini amat penting kerana genetik haiwan itu yang unik,” kata Presiden Hospital Koala, Port Macquarie.

    Beliau bimbang ratusan haiwan berkenaan maut dalam kebakaran itu.

    “Ia adalah satu tragedi kerana populasi beruang koala ini amat unik,” katanya. Penerokaan tanah dan pembangunan sejak bertahun lalu memusnahkan habitat asal koala, menyebabkan kurang jalinan perhubungan antara populasi, peningkatan pembiakan dalaman dan pengurangan kepelbagaian genetik haiwan terbabit.

    Lebih daripada 70 kebakaran terus merebak merentasi New South Wales yang turut berdepan masalah kemarau ketika ini.

    Pihak berkuasa berkata, keadaan semakin dapat dikawal berhampiran Port Macquarie dengan penggunaan lori tangki air untuk memadamkan api.

    “Kebakaran akan terus berlaku sehingga waktu malam namun terdapat sumber yang signifikan untuk membantu melindungi kawasan sekitar,” kata Jabatan Bomba Luar Bandar New South Wales dalam perkembangan terkini mereka. – AFP

    Gambar fail dua ekor beruang koala di atas pokok di sebuah zoo di Sydney, Australia. Pakar pemuliharaan bimbang beratus-ratus beruang koala yang jarang ditemui mati dalam kebakaran hutan yang menjadi habitat utamanya di bahagian pantai timur Australia. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda