Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan kubur anak damit digali semula di Ireland

    DUBLIN, 15 JULAI – Penggalian semula dilakukan kelmarin di sebuah tapak kubur yang tidak bertanda di barat Ireland yang dipercayai mengandungi ratusan mayat anak damit dan kanak-kanak, di lokasi bekas rumah perlindungan ibu dan anak damit di Tuam, County Galway.

    Penyiasatan yang dirancang selama dua tahun itu akan melibatkan pakar dari Ireland dan luar negara, menyusuli penemuan mengejutkan oleh seorang ahli sejarah amatur lebih sedekad lalu mengenai kemungkinan kubur besar tersembunyi di lokasi tersebut.

    Penggalian awal yang dijalankan pada tahun 2016 hingga 2017 menemui sejumlah besar mayat anak damit dalam tangki kumbahan bawah tanah yang tidak lagi digunakan, kini terletak dalam kawasan perumahan.

    Institusi itu sebelumnya dikendalikan oleh biarawati Katolik dari 1925 hingga 1961, menempatkan wanita yang hamil sebelum kahwin dan tersisih oleh keluarga mereka.

    Sebilangan anak yang dilahirkan terus tinggal di rumah tersebut, manakala ramai lagi diserahkan untuk diambil sebagai anak angkat menerusi sistem yang melibatkan kerjasama gereja dan pihak berkuasa negeri.

    Institusi seperti itu, yang dianggap bersifat menindas dan misoginis – pernah wujud di seluruh Ireland dan ada yang hanya ditutup setakat tahun 1998, sekali gus mencerminkan sisi gelap sejarah negara yang majoriti penduduk beragama Katolik dan konservatif secara sosial.

    Siasatan enam tahun yang dilancarkan berikutan penemuan di Tuam mendapati lebih 56,000 wanita belum berkahwin dan 57,000 kanak-kanak ditempatkan di 18 rumah seumpamanya antara tahun 1922 hingga 1998. – AFP

    Gambar menunjukkan bingkai gambar di tapak bekas Rumah Perlindungan Ibu dan Anak Damit St Mary, di Tuam, di pinggir Galway, Ireland barat. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda