Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan mayat orang awam ditanam dalam kubur besar, sebahagian dibakar RSF di El-Fasher, Sudan

    ISTANBUL, 9 NOV – Ratusan mayat orang awam dilaporkan ditanam dalam kubur besar manakala sebahagian lagi dibakar oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di Bandar El-Fasher di barat Sudan, lapor agensi Anadolu (AA) memetik sumber perubatan tempatan.
     
    “RSF telah mengumpulkan ratusan mayat dari jalan raya dan kawasan kejiranan bandar, sebelum sebahagiannya ditanam dalam kubur besar dan selebihnya dibakar dalam usaha terdesak untuk menyembunyikan bukti jenayah mereka terhadap orang awam,” kata Rangkaian Doktor Sudan dalam satu kenyataan hari ini.
     
    Kenyataan itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘genosid sepenuhnya’ dan ‘pelanggaran terhadap semua norma antarabangsa dan agama yang melarang pencacatan mayat serta menjamin hak pengebumian bermaruah bagi si mati’.
     
    “Keadaan di El-Fasher telah melangkaui tahap bencana kemanusiaan dan kini menjadi genosid yang sistematik, menyasarkan kehidupan dan maruah manusia di tengah-tengah kesenyapan masyarakat  antarabangsa yang menjurus kepada sikap bersekongkol,” menurut kenyataan itu.
     
    “Jenayah RSF tidak dapat dipadamkan dengan menanam atau membakar mayat,” kata kumpulan perubatan itu, sambil menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi melancarkan siasatan bebas antarabangsa terhadap kekejaman terhadap orang awam di El-Fasher.
     
    Pada 26 Oktober lepas, RSF menawan El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara dan didakwa melakukan pembunuhan berasaskan etnik, menurut pertubuhan tempatan dan antarabangsa, di tengah-tengah amaran bahawa serangan itu boleh mengakibatkan pembahagian wilayah Sudan. – Bernama
     
    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda