Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan meninggal dunia semasa musim haji 2024

    RIYADH, 19 JUN – Diplomat berkata kelmarin seramai 550 jemaah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ini di Mekah akibat panas terik yang menyebabkan bahang suhu melampau.

    Beberapa diplomat juga memberitahu bahawa 323 daripada mereka yang meninggal adalah warga Mesir, yang kebanyakannya menderita akibat penyakit berkaitan haba, lapor AFP, yang memetik dua diplomat Arab.

    “Semua mereka (orang Mesir) mati kerana kepanasan, kecuali seorang yang mengalami kecederaan dihimpit dalam keadaan penuh sesak, salah seorang diplomat berkata, sambil menambah jumlah keseluruhan datang dari bilik mayat hospital di kejiranan Al-Muaisem di Mekah.

    Sekurang-kurangnya 60 warga Jordan turut meninggal dunia, kata diplomat, meningkat daripada jumlah rasmi 41 yang diberikan sebelum ini oleh Amman.

    Kematian baharu itu menjadikan jumlah yang dilaporkan setakat ini oleh beberapa negara kepada 577, menurut pengiraan AFP.

    Seorang lelaki terlantar akibat cuaca panas terik di Mina pada 16 Jun. – AFP

    Para diplomat berkata jumlah di bilik mayat di Al-Muaisem, salah satu yang terbesar di Mekah, adalah 550.

    Ibadah haji semakin terjejas oleh perubahan iklim, menurut kajian Saudi yang diterbitkan bulan lalu yang mengatakan suhu di kawasan di mana ibadah dilakukan meningkat 0.4 darjah Celsius setiap dekad.

    Suhu mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidilharam di Mekah pada Isnin, kata pusat meteorologi negara Saudi.

    Kelmarin, Kementerian Luar Mesir berkata Kaherah bekerjasama dengan pihak berkuasa Saudi dalam operasi mencari warga Mesir yang hilang semasa haji.

    Walaupun kenyataan kementerian mengatakan ‘sejumlah kematian’ telah dicatat, ia tidak menyatakan sama ada mereka adalah rakyat Mesir atau bukan.

    Pihak berkuasa Saudi melaporkan lebih 2,000 jemaah yang mengalami tekanan haba telah menerima rawatan tetapi tidak mengemas kini angka itu sejak Ahad lalu dan tidak memberikan maklumat mengenai kematian.

    Sekurang-kurangnya 240 jemaah haji dilaporkan meninggal dunia oleh pelbagai negara tahun lalu, kebanyakannya warga Indonesia.

    Pegawai Arab Saudi menasihatkan jemaah haji supaya menggunakan payung, minum banyak air dan mengelakkan pendedahan kepada matahari pada waktu paling panas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda