KHARTOUM/ISTANBUL, 3 NOV – Ratusan orang awam yang kehilangan tempat tinggal, tiba di bandar Al Dabba di Negeri Utara Sudan selepas menempuh perjalanan lebih 1,200 kilometer dari El Fasher di Darfur Utara dalam keadaan yang amat sukar, lapor agensi Anadolu (AA) yang memetik laporan media tempatan hari ini.
Menurut Sudan News yang memetik sumber tempatan, kira-kira 62,000 orang melarikan diri dari El Fasher selepas Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengambil alih bandar itu pada akhir Oktober.
Mereka menuju ke Kurma Tawila dan Garni di Darfur Utara, manakala ribuan lagi masih terperangkap dalam perjalanan tanpa pengangkutan atau bantuan. Laporan itu menyebut beberapa orang awam yang baru tiba berjalan jauh dan menanggung kesusahan yang perit sebelum sampai ke Al Dabba.
Kumpulan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) kelmarin menyeru RSF dan kumpulan bersenjata sekutunya agar segera membenarkan orang awam meninggalkan bandar El Fasher, memandangkan keadaan di ibu negeri Darfur Utara itu semakin merosot dan penyeksaan terhadap penduduk semakin meningkat.
Beliau turut menggesa negara anggota QUAD iaitu Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir agar menggunakan pengaruh mereka ‘bagi menghentikan pertumpahan darah’ di bandar itu.
Kumpulan itu berkata mereka sedang memantau keadaan dengan teliti dan memberi amaran yang masyarakat antarabangsa tidak boleh mengabaikan krisis kemanusiaan di El Fasher yang semakin meruncing.
Pada 26 Oktober, RSF dilaporkan menawan bandar El Fasher dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut pertubuhan tempatan dan antarabangsa, ketika amaran yang serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi Sudan. – Bernama


