JAKARTA, 22 OKT – Ratusan pelajar di wilayah Maluku dan Sumatera Utara dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas memakan hidangan yang dibekalkan melalui program makanan berkhasiat percuma kerajaan Indonesia, ketika Presiden Prabowo Subianto terus meremehkan kebimbangan awam terhadap tahap keselamatan makanan dalam inisiatif berkenaan.
Sekurang-kurangnya 170 pelajar daripada empat sekolah di subdaerah Kiratu, Kabupaten Seram Barat, Maluku dilaporkan mengalami simptom keracunan selepas memakan nasi, telur, tauhu dan sayur-sayuran yang disediakan kerajaan pada Isnin.
Pegawai tempatan berkata, pelajar yang terjejas terdiri dari tadika hingga sekolah menengah dan mengalami simptom seperti loya, muntah serta cirit-birit.
Ketua kampung Talaga Ratu, Kasrurdin, memaklumkan beberapa pelajar menunjukkan tanda-tanda serius seperti perubahan warna wajah menjadi kebiruan selepas makan.
“Beberapa pelajar muntah darah, manakala ada yang mengeluarkan buih dari mulut,” katanya pada Isnin seperti dilaporkan Kompas.com.

Disebabkan jumlah mangsa yang banyak, Pusat Kesihatan Komuniti Kiratu (Puskesmas) terpaksa mendirikan kawasan rawatan sementara menggunakan khemah tentera dan katil lipat, memandangkan kemudahan sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit.
Susulan kejadian itu, Pentadbiran Kabupaten Seram Barat telah menghentikan semua program makanan percuma di kawasan tersebut sementara siasatan dijalankan.
Ketua Polis Seram Barat, Sr Adj. Comr. Andi Zulkifli, mengesahkan pihak berkuasa bersama agensi kesihatan tempatan telah memulakan siasatan rapi terhadap insiden itu.
“Kami sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional bagi menentukan punca sebenar kejadian keracunan makanan ini,” katanya.
Insiden di Maluku itu berlaku seminggu selepas kes serupa dilaporkan di Sumatera Utara, meningkatkan kebimbangan terhadap piawaian keselamatan makanan di bawah program kebajikan kerajaan tersebut. – ANN/The Jakarta Post

