Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan pelombong haram ditahan, wang dan berlian dirampas

    JOHANNESBURG, 3 NOV – Polis Afrika Selatan hari ini memaklumkan bahawa seramai 225 pelombong haram ditahan selepas mereka terpaksa meninggalkan sebuah terowong lombong terbiar akibat kekurangan makanan dan air.

    Pelombong yang dikenali sebagai zama zamas (bermaksud ‘mereka yang mencuba’ dalam bahasa Zulu) itu keluar dari sebuah lombong di Orkney, bandar perlombongan emas di daerah Klerksdorp, Wilayah Barat Laut.

    Menurut jurucakap polis kepada AFP, semua lelaki terbabit sudah ditahan.

    Mereka terpaksa keluar “akibat kelaparan dan dehidrasi,” jelas kenyataan polis, selepas laluan yang sering digunakan rakan mereka untuk menghantar bekalan makanan dan air ke lombong itu ditutup oleh pihak keselamatan.

    Polis turut memaklumkan bahawa pemantauan masih diteruskan di terowong lombong terbiar tersebut ‘kerana lebih ramai pelombong haram muncul ke permukaan’.

    Gambar AFP

    “Seramai 225 pelombong haram ini adalah sebahagian daripada ratusan, mungkin ribuan, pelombong haram lain yang dipercayai masih terperangkap di bawah tanah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin.

    Pemangku Pesuruhjaya Kebangsaan Polis Afrika Selatan, Leftenan Jeneral Shadrack Sibiya, berkata lebih 13,691 pelombong haram sudah ditahan di tujuh wilayah sejak Disember 2023.

    “Kami turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira AS$283,000 dan berlian yang belum digilap bernilai kira-kira AS$1.8 juta,” kata Sibiya.

    Ribuan pelombong haram, kebanyakannya warga asing, bekerja dalam keadaan sukar di negara kaya mineral itu.

    Aktiviti mereka dilihat menjejaskan syarikat perlombongan dan dianggap sebagai punca jenayah oleh penduduk setempat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda