Saturday, September 14, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan pendatang cuba berenang dari Maghribi ke Sepanyol

    BARCELONA, 27 OGOS – Beribu-ribu pendatang telah cuba menyeberangi sempadan dari Maghribi ke wilayah Ceuta, Sepanyol baru-baru ini, termasuk beratus-ratus remaja yang cuba berenang melepasi kawalan, kata pihak berkuasa Sepanyol Isnin.

    Video yang disiarkan di media Sepanyol pada hujung minggu menunjukkan polis Sepanyol memintas pendatang di dalam air pada waktu malam di tengah-tengah kabus tebal dan juga pada siang hari.

    Cristina Pérez, wakil kerajaan Sepanyol di Ceuta memberitahu wartawan kelmarin bahawa sejak 22 Ogos, purata seramai 700 orang telah cuba untuk melanggar sempadan setiap hari, dengan puncak sebanyak 1,500 percubaan pada Ahad lalu.

    Pérez tidak mendedahkan berapa ramai yang berjaya sampai ke Ceuta tetapi menjelaskan bahawa mengikut Sepanyol yang membenarkan pihak berkuasa menghantar balik ke Maghribi antara 150 dan 200 orang sehari. Dia berterima kasih kepada pihak berkuasa Maghribi atas ‘kerjasama setia’ mereka.

    Dua wilayah kecil, Ceuta dan Melilla telah lama menjadi sasaran pendatang dan pelarian yang mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah dengan cuba memanjat pagar kawat berduri atau melalui laut.

    Disebabkan oleh geografi, Sepanyol banyak bergantung pada niat baik Maghribi untuk mengawal sempadan tersebut dan menghalang pendatang keluar.

    Terdapat 1,622 ketibaan pendatang ke Ceuta dari Januari hingga pertengahan Ogos berbanding hanya 620 dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut statistik yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri Sepanyol.

    Pada bulan Februari, penduduk di bandar Belyounech, Maghribi cuba berenang ke Ceuta selepas kerajaan Maghribi mula merobohkan rumah tepi pantai yang tidak dibenarkan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu.

    Walaupun bilangan pendatang untuk sampai ke Ceuta mewakili hanya sebahagian kecil daripada lebih 31,000 ketibaan luar biasa ke Sepanyol tahun ini, Pérez berkata wilayah seluas 18.5 kilometer persegi  sedang berada di bawah ‘tekanan migrasi yang melampau’. – AP

    Sekumpulan pendatang menunggu untuk turun di pelabuhan La Estaca di pulau Canary El Hierro, Sepanyol kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda