Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ratusan ribu bantah pembaharuan pemimpin Petro

    BOGOTA, 22 APRIL – Beratus-ratus ribu orang turun ke jalan raya di bandar-bandar utama Colombia kelmarin untuk membantah kerajaan sayap kiri, Gustavo Petro, yang popularitinya berada pada tahap terendah sepanjang masa.

    Demonstrasi itu bukanlah yang pertama menentang Petro sejak dia berkuasa 20 bulan lalu, tetapi ia adalah yang terbesar.

    Persatuan perubatan, kumpulan pembangkang dan juga bekas sekutu Petro telah menggesa rakyat Colombia mengadakan bantahan terhadap pembaharuan yang cuba dilaksanakan Petro, termasuk memiliknegarakan perkhidmatan kesihatan dan menentang keganasan yang terus menjejas rundingan damai dengan kumpulan gerila bersenjata.

    “Saya mengundi untuk perubahan, untuk Petro, tetapi kami masih dalam situasi yang sama. Saya berdemonstrasi kerana saya fikir Colombia masih mempunyai harapan dan kerana saya sayangkan negara saya,” seorang pesara berusia 64 tahun memakai topi tiga warna di Bogota, Martha Estrada, memberitahu AFP.

    Petro, memberi komen di X, sebelum ini Twitter, berkata bantahan adalah besar-besaran di Medellin, Bogota dan Bucaramanga tetapi ‘lemah’ di 18 buah bandar lain.

    “Matlamat utama perarakan adalah untuk menyingkirkan saya dan untuk menjatuhkan kerajaan,” kata Petro, yang menggelar protes itu sebagai ‘rampasan kuasa yang dilakukan secara halus’ untuk menggagalkan reformasi. Beliau telah menggesa perarakan prokerajaan besar-besaran pada 1 Mei.

    Di ibu negara, puluhan ribu penunjuk perasaan mengharungi hujan lebat untuk menuju ke Dataran Bolivar, berhampiran istana presiden.

    Ramai yang mengibarkan bendera Colombia, manakala doktor berbaju putih dan pekerja kesihatan membawa sepanduk membantah pembaharuan penjagaan kesihatan Petro, di mana beliau mahu mengurangkan peranan syarikat swasta sebagai pembekal perkhidmatan kesihatan. – AFP

    Penunjuk perasaan membantah kerajaan Petro berhubung pembaharuan kesihatan dan pencen di Cali, Colombia pada 21 April. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...