DUBAI, 21 MEI – Elon Musk menyatakan beliau menjangkakan ratusan ribu kereta Tesla pandu sendiri akan berada di jalan raya Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun depan dan beliau komited untuk terus kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tesla sekurang-kurangnya lima tahun lagi.
Dalam dua temu bual kelmarin, beliau menegaskan tidak kesal menerajui Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang terlibat dalam pengurangan besar tenaga kerja di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Musk turut menyatakan permintaan terhadap Tesla kini menunjukkan lonjakan semula yang ketara, meskipun jualan di pasaran Eropah dan AS sebelum ini merosot selama beberapa bulan berturut-turut. “Kemungkinan besar akan ada ratusan ribu, malah mungkin lebih sejuta kenderaan Tesla yang mampu memandu sendiri di AS,” katanya kepada CNBC.
Musk telah menjanjikan kenderaan autonomi sepenuhnya selama sedekad, tetapi tekanan semakin meningkat apabila Tesla dijangka melancarkan perkhidmatan teksi pandu sendiri di Austin, Texas, bulan depan.
“Ini masa penting buat Tesla dan Musk menggandakan lagi jangkaannya,” kata penganalisis Wedbush Securities, Dan Ives.

Pengawal selia persekutuan mempunyai kuasa terhad terhadap teksi Tesla tanpa stereng atau pedal brek kerana tiada peraturan kebangsaan mengenai teknologi pemanduan sendiri.
Musk juga mengetepikan pesaing seperti Waymo yang telah mengendalikan 250,000 perjalanan teksi tanpa pemandu setiap minggu di beberapa bandar.
Tambahnya, “Saya fikir Tesla akan jadi lebih baik. Saya tidak fikir sangat tentang pesaing. Saya cuma fikir nak jadikan produk ini sempurna.”
Musk turut menafikan penglibatannya dalam politik.
Ketika beliau ditanya sama ada beliau kesal dengan tekanan ketika memimpin DOGE, Musk diam seketika sebelum menjawab, “Saya buat apa yang perlu.”
Beliau juga mendakwa syarikatnya menjadi sasaran ancaman dan kekerasan serius.
Beliau mengakui isu gaji dan kawalan undian adalah faktor dalam keputusannya untuk kekal di Tesla, terutamanya apabila syarikat itu membangunkan jutaan atau berbilion robot humanoid.
Tambahnya, “Ini bukan soal duit, tapi soal kawalan munasabah terhadap masa depan syarikat.” – AP