Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan ribu masih bergelap akibat ribut

    PORTLAND, 7 APRIL – Usaha pemulihan tenaga elektrik di Maine dan New Hampshire memasuki hari baharu kelmarin dengan lebih 100,000 buah rumah dan pusat perniagaan masih dalam kegelapan beberapa hari selepas ribut membawa angin kencang dan salji lebat.

    Utiliti elektrik terbesar Maine memberi amaran sesetengah penduduk mungkin tidak akan mempunyai perkhidmatan bekalan elektrik sehingga ia dipulihkan esok atau Selasa, bergantung pada usaha 1,125 pekerja talian dan 400 pekerja pemotong pokok, kata pegawai.

    Sebahagian besar bekalan elektrik terputus iaitu lebih 150,000 kelmarin terutama yang berada di selatan Maine, manakala New Hampshire pula lebih 10,000 buah rumah dan pusat perniagaan terputus bekalan elektrik.

    Central Maine Power melaporkan ia telah menerima lebih daripada 5,000 laporan kerosakan yang perlu diselesaikan oleh pekerja semasa ribut, dan lebih daripada 300 batang tiang utiliti roboh, kata jurucakap syarikat, Jonathan Breed.

    Ia merupakan tahun yang sukar untuk musim sejuk dan musim bunga di Maine, negeri yang mempunyai paling banyak hutan.

    Kira-kira 450,000 buah rumah dan pusat perniagaan terputus elektrik semasa ribut Disember lalu, dan kira-kira 200,000 buah lagi terputus bekalan elektrik semasa ribut salji bulan lepas. Lebih 300,000 buah rumah dan perniagaan berada dalam kegelapan semasa ribut terbaharu, nor’easter yang melanda malam Rabu dan Khamis lepas.

    Ribut sedemikian telah meningkat dalam intensiti dan kekerapan sepanjang puluhan tahun yang lalu, kata Breed.

    “Kami berhadapan dengan ribut yang lebih kencang dan lebih kerap di seluruh dunia. Ia sesuatu yang kami sumbangkan kepada perubahan iklim,” katanya kelmarin. “Ia sudah tentu menjelaskan tentang trend yang berlaku.”

    Ribut itu membawa hujan lebat dan angin kencang ke sebahagian besar kawasanTimur Laut, termasuk angin ribut sehingga lebih 60 batu sejam di bahagian New England. – AP

    Seorang pekerja sanitasi mengutip sampah terakhir penduduk sebelum pokok tumbang menghalang jalan pada 5 April, di Derry, New Hampshire.– AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda