BEIJING, 21 JUN – Hujan paling lebat dalam tempoh beberapa dekad menyebabkan banjir dan tanah susur di selatan China, memaksa ratusan ribu orang penduduk berpindah, menurut laporan media kerajaan.
Hujan lebat menyebabkan laluan air besar secara berbahaya di kawasan rendah lembangan Sungai Pearl sejak beberapa hari kebelakangan, yang menjejaskan operasi pembuatan, perkapalan dan logistik ketika rantaian bekalan sudah tertekan disebabkan oleh kawalan ketat COVID dikenakan oleh China.
Purata turunan hujan di wilayah Guandong, Fujian dan Guangxi antara awal Mei dan pertengahan Jun mencecah 621 milimeter, tertinggi sejak 1961, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China.
Gambar-gambar dari media kerajaan menunjukkan orang ramai berkerumun di katil kem di sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara di bandar Shaouguan, wilayah Guangdong, dan beratus-ratus khemah didirikan di padang sukan.
Pihak berkuasa Guangdong kelmarin berkata bahawa lebih 200,000 orang telah dipindahkan ketika bencana itu melanda, dan setakat ini nilai kerosakan dianggarkan kira-kira AS$254 juta.

Mangsa yang dipindahkan adalah antara hampir 480,000 yang terjejas oleh hujan dan banjir, menurut pegawai.
Shaoguan mengeluarkan amaran merah iaitu yang paling serius pada awal hari ini, selepas beberapa kawasan luar bandar dan bandar utama Foshan meningkatkan amaran banjir sejak beberapa hari kebelakangan.
Guangxi dilanda banjir terburuk sejak 2005, menurut laporan media tempatan.
Pihak berkuasa meteorologi kelmarin berkata bahawa 28 buah sungai di Guangxi melepasi paras amaran, dengan hujan berterusan pada hari ini.
Sementara itu wilayah Jiangxi mengeluarkan amaran merah bagi banjir, kelmarin.
Di Fujian, lebih 220,000 orang telah dipindahkan sejak awal bulan ini disebabkan banjir, menurut agensi berita rasmi Xinhua, kelmarin.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dalam kejadian banjir selepas hujan lebat di wilayah tengah China, Hubei. – AFP