Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan ribu penduduk selatan China bersihkan kesan Taufan Ragasa

    YANGJIANG, 25 SEPT – Ratusan ribu penduduk di selatan China sibuk membersihkan kediaman dan jalanan, hari ini, selepas Taufan Ragasa membadai wilayah Guangdong, menumbangkan pokok, memusnahkan pagar serta menerbangkan papan tanda dari bangunan.

    Ragasa melanda Guangdong, wilayah berpenduduk puluhan juta orang, dengan kelajuan angin mencecah 145 kilometer sejam kelmarin selepas melalui Hong Kong dan meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa di Taiwan.

    Wartawan AFP yang berada di sekitar bandar Yangjiang, hari ini, melihat pokok tumbang, manakala papan tanda jalan dan serpihan bertaburan di jalan raya.

    Hujan renyai-renyai dan angin sederhana masih berlarutan ketika penduduk bekerja membersihkan kawasan, namun pihak berkuasa belum melaporkan sebarang kematian akibat ribut tersebut.

    Di Hailing, sebuah pulau di bawah pentadbiran Yangjiang pasukan penyelamat berusaha menyingkirkan pokok besar yang tumbang melintang jalan utama. Kenderaan terpaksa menggunakan laluan berlumpur untuk mengelak halangan sementara pasukan penyelamat memotong dahan.

    Sebuah restoran makanan laut mengalami kerosakan teruk apabila bumbung belakang runtuh sepenuhnya, malah ada bahagiannya diterbangkan ribut.

    “Angin terlalu kuat, anda boleh lihat ia benar-benar merobohkan segalanya,” kata Lin Xiaobing, 50, pekerja restoran tersebut.

    “Tiada bekalan elektrik di rumah,” katanya sambil membantu membersihkan restoran yang lantainya dipenuhi air, lumpur dan serpihan. “Hari ini, ada rumah yang masih ada elektrik, ada juga yang tiada.” – AFP

    Seorang pekerja membersihkan Pantai Silvermine selepas Taufan Super Ragasa melintasi berhampiran Hong Kong, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda