NAIROBI, 13 NOV – Beratus-ratus rakyat Kenya mengharungi hujan lebat untuk menanam anak pokok di Nairobi selepas kerajaan mengisytiharkan Isnin sebagai cuti umum untuk menggalakkan rakyat menanam 100 juta pokok di seluruh negara.
Presiden, William Ruto telah berikrar untuk menanam 15 bilion pokok menjelang 2032 dalam usaha untuk meningkatkan litupan hutan Kenya berikutan kemarau terburuk yang memusnahkan wilayah Afrika dalam tempoh 40 tahun.
Walaupun hujan lebat, pegawai, pelajar sekolah dan keluarga berkumpul di pelbagai lokasi di ibu negara untuk menanam anak pokok.
“Saya telah menanam lebih daripada 50 pokok hari ini. Saya fikir ini adalah inisiatif yang positif dan perlu untuk planet ini terutamanya selepas mengalami kemarau dramatik di Kenya untuk beberapa musim berturut-turut,” kata pegawai kerajaan, Joan Kirika kepada AFP.
“Saya harap kita terus meraikan hari ini setiap tahun, tidak semestinya sebagai hari cuti tetapi peringatan tahunan untuk mengambil berat tentang alam sekitar dan memikirkan tentang planet ini.”
Ruto telah menggambarkan dirinya sebagai pekempen perubahan iklim, tetapi telah menghadapi kritikan daripada pencinta alam sekitar berhubung keputusannya pada bulan Julai untuk menarik balik moratorium pembalakan selama hampir enam tahun.
Beliau telah mempertahankan langkah itu, berkata ia akan mewujudkan pekerjaan, menambah adalah ‘bodoh’ untuk membiarkan pokok matang reput sementara kilang papan mengimport kayu. – AFP


