Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan spesies cendawan diancam kepupusan – IUCN

    PARIS, 28 MAC – Lebih 400 spesies cendawan kini diancam kepupusan akibat penebangan hutan, aktiviti pertanian dan kebakaran berkaitan perubahan iklim, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), kelmarin.

    Dalam kemas kini terbaharu Senarai Merah Spesies Terancam, IUCN melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 411 daripada 1,300 spesies cendawan yang dikaji berada dalam risiko tinggi kepupusan.

    “Cendawan adalah wira tersembunyi yang menjadi asas kepada ekosistem sihat, namun peranannya sering dipandang remeh,” kata Ketua Pengarah IUCN, Grethel Aguilar.

    Penilaian itu hanya merangkumi sebahagian kecil daripada kira-kira 150,000 spesies cendawan yang telah direkodkan, jauh lebih rendah daripada anggaran 2.5 juta spesies di seluruh dunia.

    Profesor Anders Dahlberg, penyelaras penilaian itu, berkata kepupusan cendawan boleh memberi kesan besar kepada hidupan lain kerana organisma itu berperanan dalam daya ketahanan tanaman terhadap kemarau, perlindungan daripada patogen serta penyimpanan karbon dalam tanah.

    “Ia seperti mikrobiom dalam perut manusia yang penting untuk kesihatan kita,” katanya kepada AFP, menggambarkan ‘simbiosis yang sangat, sangat tua, lebih daripada 400 juta tahun’ yang menyokong semua ekosistem.

    Banyak cendawan ‘boleh dimakan, digunakan dalam pengeluaran makanan dan minuman termasuk penapaian’ dan membentuk asas ubat-ubatan, kata IUCN. Namun, spesies yang sering dinikmati seperti cendawan porcini dan chanterelle tidak termasuk dalam kategori paling terancam. – AFP

    Cendawan Kon ditemui semasa tinjauan biodiversiti cendawan berhampiran Port Angeles, Washington pada 17 Oktober 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda