BANDAR GAZA, 27 FEB – Israel membebaskan ratusan tahanan Palestin hari ini, tidak lama selepas mengumumkan bahawa, Hamas telah menyerahkan keranda yang dipercayai mengandungi mayat empat tebusan.
Pejabat Perdana Menteri Israel menyatakan bahawa Israel telah menerima keranda “empat tebusan yang terkorban” dan proses rasmi untuk mengenal pasti mereka telah dimulakan.
Di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, wartawan AFP menyaksikan ratusan tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel tiba dengan bas yang diiringi oleh kenderaan Palang Merah.
Lebih daripada 600 orang dijadualkan dibebaskan dalam pertukaran terbaru ini, dan media berkaitan kerajaan Mesir, Al-Qahera News, melaporkan bahawa 97 daripada mereka telah tiba di bahagian sempadan Rafah, Mesir.
Mereka sepatutnya dibebaskan hujung minggu lalu, tetapi Israel menghentikan proses tersebut selepas berang terhadap majlis-majlis khas yang dianjurkan oleh Hamas ketika menyerahkan tebusan yang mereka tahan sejak serangan mengejut pada 7 Oktober 2023.
Ketegangan ini telah mengancam fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza yang mula berkuat kuasa pada 19 Januari dan dijadualkan berakhir pada Sabtu.
Hamas hari ini berkata bahawa Israel kini tidak mempunyai pilihan selain memulakan rundingan fasa kedua.
“Kami telah menutup jalan terhadap alasan palsu pihak musuh, dan kini ia tidak mempunyai pilihan selain memulakan rundingan untuk fasa kedua,” kata Hamas di Telegram.
“Rundingan akan bermula semula sama ada di Doha atau Kaherah, dengan perantara dari Mesir dan Qatar,” tambah mereka. – AFP
