GUA MUSANG – Tokong Swee Nyet Keung, di sini menjadi tumpuan ramai sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), dengan lebih 500 tanglung digantung bagi memancarkan cahaya kegembiraan dan menyemarakkan suasana perayaan.
Tahun ular yang disambut 29 Januari lalu juga menandakan permulaan baharu dan pembaharuan, dengan setiap sinar tanglung sebagai lambang harapan untuk masa depan lebih gemilang.
Penjaga tokong itu Chong Choon Lim, 59, berkata beliau telah hampir dua dekad menjaga tempat ibadat itu, dengan hiasan tanglung adalah lebih daripada sekadar dekorasi.
Beliau berkata hiasan itu merupakan simbol kebersamaan, kepercayaan dan semangat yang terkandung dalam setiap langkah mereka yang meraikan perayaan itu.
“Setakat ini, kami sudah menggantung lebih 200 tanglung dan jumlahnya akan meningkat kepada lebih 500 menjelang sambutan tahun ular,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Chong juga memperkenalkan tanglung LED untuk memberikan kesan pencahayaan yang lebih terang, membawa lebih banyak warna dan menambahkan keceriaan.
Beliau berkata tokong itu bukan sahaja tempat ibadat, tetapi juga lokasi tumpuan dengan lebih 1,000 pengunjung dari dalam dan luar kawasan ini datang berkumpul setiap tahun untuk menyambut TBC, membawa semangat kebersamaan serta doa agar tahun baharu membawa lebih banyak peluang.
“Kebanyakan hiasan yang kami pasang, seperti tanglung dan bunga, adalah hasil sumbangan penduduk setempat. Ini menunjukkan semangat gotong-royong yang terus hidup dalam masyarakat kami.
“Ia juga mengeratkan hubungan antara kami, kerana setiap orang memainkan peranan dalam menghiasi tokong ini,” katanya.
Sebagai penjaga tokong, Chong tidak hanya menjaga kebersihan tetapi juga memastikan tempat ini sentiasa mencerminkan ketenangan yang dicari oleh pengunjung.
“Saya pastikan tokong ini sentiasa bersih dan teratur. Bagi saya, tokong adalah tempat yang memberikan kedamaian jiwa, maka saya ingin mereka yang datang merasai keselesaan dan ketenangan.
“Dengan lebih 500 tanglung menyinari langit malam, sambutan TBC kali ini akan menjadi satu perayaan yang lebih bermakna,” katanya dan berharap setiap cahaya yang bersinar membawa masa depan lebih cerah, mengeratkan lagi ikatan persaudaraan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat. – Bernama