LONDON, 3 JAN – Penyelidik di United Kingdom (UK) telah menemukan kira-kira 200 tapak kaki dinosaur berusia 166 juta tahun, yang dipercayai sebagai penemuan terbesar di negara itu.
Pasukan dari Universiti Oxford dan Universiti Birmingham membuat penemuan yang disifatkan sebagai ‘sangat mengujakan’ di sebuah kuari di Oxfordshire, tengah England, selepas seorang pekerja menemui ‘bonggol luar biasa’ ketika menggali tanah liat menggunakan pengorek mekanikal, menurut dokumentari baharu BBC.
Tapak tersebut menampilkan lima laluan jejak yang meluas, dengan laluan jejak terpanjang berterusan mencecah lebih 150 meter.
Empat daripada lima laluan jejak itu dipercayai dibuat oleh dinosaur herbivor berleher panjang, kemungkinan spesies Cetiosaurus.
Set jejak kelima pula dipercayai milik Megalosaurus, spesies pemangsa sepanjang sembilan meter yang memiliki ciri khas berkaki tiga besar dengan cakar, menurut Universiti Birmingham.
“Amat jarang sekali menemukan jejak sebanyak ini di satu lokasi, apatah lagi laluan jejak yang begitu meluas,” kata Emma Nicholls dari Muzium Sejarah Semula Jadi Universiti Oxford kepada AFP.
Nicholls turut menyatakan bahawa kawasan tersebut berpotensi menjadi salah satu tapak jejak dinosaur terbesar di dunia.
Penemuan luar biasa itu akan dipaparkan dalam dokumentari BBC bertajuk Digging for Britain, yang dijadual disiarkan pada 8 Januari. – AFP