MEXICO, 10 SEPT – Hujan lebat membanjiri jalan dan lebuh raya utama di sebuah pinggir bandar padat penduduk di bandar Guadalajara, Mexico kelmarin, menghalang ratusan penduduk daripada sampai ke rumah mereka.
Hujan lebat yang bermula lewat petang Isnin menyebabkan longkang tersumbat dan menutup laluan antara pinggir bandar Tlajomulco de Zuniga di kawasan selatan bandar dengan pusat bandar Guadalajara.
Mexico mengalami ribut besar setiap tahun, biasanya antara Mei hingga November.
Namun, negara Amerika Latin itu mengalami tahun yang luar biasa basah, terutamanya di bandar Mexico, yang pada bulan Ogos mencatatkan hujan lebat paling tinggi sejak 1952, menurut rekod rasmi.
Dengan jalan ditutup, ratusan penduduk Tlajomulco tidak dapat pulang ke rumah, menghabiskan malam di dalam kenderaan dan pengangkutan awam sehingga kelmarin, apabila ramai mendapati rumah mereka sepenuhnya dilanda banjir.
Penduduk terpaksa meredah air setinggi pinggang, malah ada yang menggunakan bot tiup, dengan bantuan pihak berkuasa tempatan yang giat menjalankan kerja-kerja mengalirkan air banjir yang masih bertakung.
“Semalam kami mengalami hujan paling lebat bagi ribut ini,” kata Datuk Bandar Tlajomulco, Gerardo Velazquez, kepada wartawan pada Selasa.
Hujan turut menyebabkan banyak pokok tumbang dan membanjiri rumah, dengan jumlah kerosakan masih dikira.
Manakala, terdapat dua kenderaan terbalik, termasuk sebuah bas yang membawa 17 orang, kesemuanya selamat, menurut pejabat datuk bandar. – AFP


