Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Ratusan penonton memenuhi Empire Times Cineplex malam hari ini bagi menyaksikan tayangan perdana filem dokumentari Prince Azim – Son of the Arts.
Filem dokumentari Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul Azim itu dihasilkan secara eksekutif oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
Diarahkan oleh Sumardi Hedus dari Relentless Entertainment, filem dokumentari itu menampilkan rakaman video di rumah yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan wawancara daripada keluarga, rakan-rakan dan kehidupan mereka tersentuh oleh Al-Marhum serta mereka yang berkongsi minat dengan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia.
Pengasas Bersama Relentless Entertainment, Amy Cheong dalam ucapannya berkata bahawa Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul Azim adalah individu yang sangat unik, istimewa dan berbakat.
“Bagi kami, kami melihatnya sebagai putera yang memberi kami keberanian dalam industri kreatif untuk mengejar impian kami.
“Al-Marhum adalah penyokong bagi belia, menyokong seni dan berusaha menolong di mana sahaja yang boleh kerana Al-Marhum benar-benar ingin melihat sesuatu bertambah baik dan berubah menjadi lebih baik,” tambahnya.
Menurut Amy Cheong, keluarga Al-Marhum mahu mengongsikan cerita tentang Al-Marhum dan Relentless telah dilantik untuk merealisasikannya.
“Kami benar-benar merasa teruja dan berterima kasih atas kepercayaan, peluang dan kebebasan kreatif yang diberikan kepada kami untuk menceritakan kisah Al-Marhum,” ujar beliau lagi.
Amy Cheong turut mengongsikan bahawa dokumentari tersebut mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan dan melalui temu wawancara bersama adik-beradik Al-Marhum, bersama orang yang pernah bekerja dengan Al-Marhum dan mereka yang pernah disokong Al-Marhum, mereka menyedari Al-Marhum adalah benar-benar seorang putera bagi dan untuk rakyat.
Tayangan perdana itu dihadiri, antara lain, oleh menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan kerajaan, perwakilan daripada badan-badan amal, tetamu jemputan dan orang ramai.
Filem dokumentari 90 minit itu akan ditayangkan pada 31 Julai dan 1 Ogos ini, di pawagam-pawagam Times Cineplex di The Empire Brunei, Tutong dan Kuala Belait.
Tayangan selanjutnya akan diadakan di Art Centre, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) pada 7 dan 8 Ogos depan. E-tiket bagi tayangan di pusat itu boleh didapati melalui www.progresifevents.com.
Sebilangan besar hasil jualan tiket berkenaan akan disumbangkan kepada badan-badan amal yang pernah bekerjasama dengan Al-Marhum, seperti Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan Kanak-Kanak Cacat Brunei (KACA), SMARTER Brunei dan Yayasan Kanser Kanak-Kanak Brunei (YASKA).