Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Rawatan akupuntur Cina pulihkan pesakit siatika

    VALLETTA – Kira-kira enam bulan lalu, Daniel Bugeja sukar berjalan kerana mengalami kesakitan di bahagian belakang dan kaki akibat menghidap siatika meskipun sudah mengambil pelbagai jenis ubat dan malah keadaannya bertambah teruk apabila dia dijangkiti COVID.

    Namun, setelah menjalani rawatan akupunktur di Pusat Wilayah Mediterranean untuk Perubatan Tradisional Cina (MRCTCM) di Malta, Bugeja kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

    Daniel Bugeja, 51, seorang penjawat awam di jabatan kerajaan mula mengalami kesakitan berpanjangan kira-kira tiga tahun lalu dan dia mula menjalani rawatan TCM pada November tahun lalu.

    Setakat ini, Bugeja telah menjalani rawatan TCM hampir 20 kali. “Ia telah membantu saya kembali menjalani kehidupan seperti sebelumnya,” katanya kepada Xinhua.

    Ditubuhkan pada 1994, MRCTCM ialah sebuah koperasi kesihatan China-Malta, dengan kira-kira 100 pakar perubatan China yang telah merawat kira-kira 200,000 pesakit setakat ini.

    Zhou Lingyun (kanan), ahli Pasukan Perubatan China ke-17 untuk Malta, merawat pesakit Daniel Bugeja dengan akupunktur di Paola, Malta. – Xinhua
    Daniel Bugeja, seorang pesakit yang menerima rawatan Perubatan Tradisional Cina (TCM), semasa ditemu bual pemberita. – Xinhua

    Bugeja mula mencuba akupunktur selepas seorang rakan mengesyorkannya dan kini dia memberitahu rakan-rakan yang menghadapi masalah serupa walaupun mereka takut jarum.

    Pada akhir Disember, dia telah menghabiskan tiga hari di atas katil dan 14 hari dalam kuarantin di rumah selepas dijangkiti COVID. Meskipun sudah pulih, dia masih mengalami batuk-batuk dan berasa sangat lesu sehinggakan sukar untuk menaiki tangga.

    Apabila dia memulakan semula rawatan di MRCTCM untuk penyakit siatika, doktornya, Zhou Lingyun, mencadangkannya untuk mencuba akupunktur bagi merawat masalah batuk dan memulihkan kekuatannya. “Saya tidak mengambil sebarang ubat dan batuk hilang,” kata Bugeja.

    Mengenai siatika yang dihadapinya, doktor terdahulunya memberitahunya bahawa dia perlu hidup dengan kesakitan. Pil yang diambilnya membuatkan dia berasa cemas dan mengalami sakit perut. Tiada apa-apa yang berkesan kecuali perubatan Cina.

    “Sekarang belakang saya sembuh!” dia memberitahu Xinhua. Dia sebelum ini tertarik dengan budaya Asia, dan tahu tentang TCM.

    Namun, dia berkata, “Saya tidak pernah terfikir akan melakukannya,” katanya. “Sekarang saya memberitahu kepada orang ramai untuk pergi ke klinik Cina dan awda akan merasa sihat.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...