Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rawatan baharu RSV anak damit terbukti berkesan 90 peratus

    WASHINGTON, 8 MAC – Rawatan baharu untuk Virus Sinsitial Respiratori (RSV), yang menjadi punca utama penyakit teruk dalam kalangan anak damit di Amerika Syarikat (AS), terbukti berkesan 90 peratus dalam mengurangkan jumlah kemasukan anak damit penghidap RSV ke hospital, kata pihak berkuasa kesihatan kelmarin.

    Kajian dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menunjukkan ubat nir-sevimab mencegah anak damit daripada dimasukkan ke hospital akibat RSV, yang menyebabkan bronkiolitis, dalam sembilan daripada 10 kes, kata agensi itu.

    CDC berkata ia mengesyorkan ubat antibodi untuk anak damit di bawah lapan bulan yang ibunya tidak menerima vaksin RSV maternal yang sedia ada semasa mengandung dan yang memasuki musim RSV pertama mereka, yang berlangsung dari Oktober hingga Mac di AS.

    Sekitar 58,000 hingga 80,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun dimasukkan ke hospital dengan RSV setiap tahun di AS, menurut CDC, dengan anggaran 100 hingga 300 kematian anak damit.

    Kajian itu, yang mengikuti kes 685 anak damit dari Oktober hingga Februari, adalah data awam pertama mengenai keberkesanan nirsevimab, yang pertama kali diperkenalkan pada Ogos.

    “Keputusan menunjukkan bahawa nirseviab adalah 90 peratus berkesan untuk mengurangkan kemasukan anak damit penghidap RSV ke hospital semasa musim RSV pertama mereka,” kata CDC dalam satu kenyataan.

    Walau bagaimanapun, badan kesihatan itu menyatakan ia sedang meneruskan kajian semula rawatan dan lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan keberkesa-nannya sepanjang musim RSV. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda