GENEVA, 30 JULAI – Ratusan ribu kanak-kanak yang didiagnosis dengan kanser di negara berpendapatan rendah dan sederhana tidak mendapat rawatan sewajarnya, kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Hanya satu perempat daripada negara berpendapatan rendah menyediakan ubat kanser kanak-kanak melalui perbelanjaan awam, lapor menurut agensi berita Emirates (WAM) memetik taklimat akhbar mingguan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) PBB, Tedros Adhanom Ghebreyesus, di Geneva baru-baru ini.
“Ini meletakkan kanak-kanak dan keluarga mereka dalam risiko menerima ubat-ubatan yang tidak berkualiti dan palsu yang menyebabkan kelangsungan hidup kanak-kanak di negara-negara berkenaan kurang daripada 30 peratus berbanding lebih 90 peratus di negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Untuk membantu menangani masalah itu, WHO yang disokong oleh Hospital Penyelidikan Kanak-kanak St Jude, Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam penyakit leukemia dan kanser lain, melancarkan Inisiatif Global untuk Kanser Kanak-Kanak pada 2018.
Inisiatif itu menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus kadar kelangsungan hidup di negara berpendapatan rendah dan sederhana menjelang 2030, dengan memberi tumpuan kepada enam kanser yang boleh sembuh yang dihidapi lebih separuh kanak-kanak.
Beliau berkata pada Disember 2021, agensi PBB dan St Jude memulakan program global untuk meningkatkan akses kepada ubat kanser kanak-kanak.
WHO juga mengumumkan bahawa ubat kanser adalah antara yang telah ditambah kepada versi terkini Senarai Ubat Perlu WHO dan Senarai Ubat Penting untuk Kanak-kanak, katanya.
“Senarai baharu itu juga termasuk ubat baharu yang penting untuk rawatan sklerosis berbilang, penyakit berjangkit dan keadaan kardiovaskular…,” kata Tedros. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P12-4-Envato-Elements_31072023.jpg)