Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rawatan kesihatan mental semakin diterima di Iraq

    BAGHDAD – Raghad Qassem mencari seorang ahli psikologi di seluruh ibu kota Iraq, Baghdad untuk bercakap mengenai masalahnya, sebelum akhirnya memilih untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian.

    Ia adalah perkara yang terbaik yang boleh dapat dilakukannya di negara yang dihantui oleh puluhan tahun konflik dan trauma, di mana kesihatan mental tidak dirawat dengan baik dan ahli profesional kesihatan mental adalah sedikit.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa di negara dengan 43 juta penduduk, terdapat hanya dua pekerja kesihatan mental bagi setiap 100,000 penduduk Iraq.

    Qassem mengakui bahawa dia sudah lama tidak peka terhadap keperluan kesihatan mentalnya dan hanya menyedari kepentingannya ‘apabila memasuki usia 30an’.

    Semasa dikuarantin ketika pandemik COVID, dia ‘mula mengenali gejala-gejala kemurungan’, kata Qassem.

    Jururawat Iraq keluar dari bangunan pemulihan di hospital psikiatri Al-Rashad. – AFP
    Kadhimi bercakap semasa temu bual di pejabatnya. – AFP
    Lukisan yang dihasilkan oleh pesakit dipamerkan di hospital psikiatri Al-Rashad. – AFP
    Para pesakit berjalan di sekitar premis hospital. – AFP
    Seorang doktor bercakap melalui telefon di luar bangunan pentadbiran hospital psikiatri Al-Rashad di Baghdad. – AFP

    “Saya sedar itulah yang saya alami,” kata aktivis wanita berusia 34 tahun itu.

    Dia mahu bercakap secara langsung dengan ahli psikologi di Baghdad, kerana ‘apabila saya bercakap, saya suka orang itu berada di hadapan saya’.

    Ramai rakannya mengesyorkan agar dia berjumpa dengan doktor, tetapi dia teragak-agak untuk berbuat demikian kerana mereka yang telah melakukannya ‘akan dirawat dengan pil’.

    Sebaliknya, dia beralih ke internet dan bercakap dengan beberapa ahli psikologi, termasuk seorang wanita Lubnan yang dapat membantu dia merungkaikan sebab-sebab ketidakbahagiaannya.

    PERMINTAAN TINGGI

    “Kerana dia, saya sedar tentang peningkatan trauma dari perang, ketakutan, dan kegelisahan yang saya alami pada 2003 dan sejak daripada itu,” katanya, merujuk kepada pencerobohan yang dipimpin oleh Amerika Syarikat untuk menggulingkan Saddam Hussein yang mencetuskan salah satu era paling berdarah dalam sejarah Iraq.

    Dunia telah mengikuti rapat konflik di Gaza antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, yang telah meragut beribu-ribu nyawa, tetapi penderitaan dan trauma psikologi yang dicetuskannya turut melanda Iraq.

    Dirundung oleh peperangan dan digegarkan oleh serangan kumpulan IS, permintaan Iraq terhadap profesional kesihatan mental adalah besar, tetapi bantuan sukar diperoleh.

    Hospital psikiatri Al-Rashad di Baghdad menerima pesakit yang mengalami penyakit psikologi yang serius, seperti skizofrenia dan menawarkan rawatan pesakit luar untuk kemurungan, keresahan dan gangguan tekanan pasca trauma.

    Di hospital itu, pesakit yang kelihatan lesu boleh dilihat berjalan sendirian melalui koridor. Ada yang berada di Al-Rashad selama berpuluh-puluh tahun, kata pengarahnya, Firas al-Kadhimi.

    “Terdapat kekurangan doktor pakar,” katanya kepada AFP.

    Hospital Kadhimi hanya mempunyai 11 pakar psikiatri untuk 1,425 pesakitnya, yang berusia antara 14 hingga 70 tahun, kata pengarah itu.

    “Saya tidak fikir terdapat tempat lain di dunia di mana seorang doktor perlu merawat 150 pesakit dalam tempoh 30 hari,” katanya.

    Lima pekerja sosial lain berkhidmat di hospital itu, tetapi mereka perlu melihat 100 pesakit setiap hari dan kadangkala melakukan konsultasi untuk tiga orang serentak.

    Walau bagaimanapun, terdapat bengkel muzik dan seni untuk pesakit.

    Di dalam sebuah teater kecil dengan kerusi merah, tiga orang tua di pentas berlatih lakonan yang disediakan oleh bekas pekerja hospital, yang datang untuk membantu.

    SEMAKIN DITERIMA

    Sebelum ini, mungkin sukar bagi seorang warga Iraq untuk berkata, ‘saya mempunyai masalah mental’, tetapi sikap sedemikian semakin diterima disebabkan oleh berita dan media sosial.

    “Jumlah pelawat semakin meningkat di klinik-klinik konsultasi,” kata Kadhimi.

    Pakar psikologi, Zeinab Abdel Razaq bekerja dengan badan amal Perancis, Doctors Without Borders (MSF) di Baghdad.

    Razaq memberitahu AFP bahawa walaupun mungkin masih terdapat ‘stigma’ kesihatan mental di Iraq, ia telah ‘mula berkurangan’.

    “Orang ramai semakin mudah menerima psikologi,” katanya.

    Seorang pesakit, Zeinab Abdelwahab, berkata dia pada mulanya datang untuk fisioterapi dan terus mendapatkan rawatan kesihatan mental.

    Selepas beberapa bulan sesi, ‘saya perasan perubahan radikal dalam mood saya’, kata wanita berusia 30an yang mempunyai sejarah peribadi yang menyakitkan.

    Menurutnya, ibunya meninggal dunia, bapanya sakit, dia menghidap polio dan telah jatuh beberapa kali, lutut dan pelvisnya patah.

    Abdelwahab mengakui bahawa persepsi peribadinya terhadap rawatan psikologi telah terpesong oleh kepercayaan sosial.

    “Apabila saya datang ke sini, saya menyedari bahawa ia bukan hanya untuk orang gila,” katanya.

    “Mereka hanya perlu bercakap dengan orang lain, mencari keselesaan tentang bagaimana mereka rasa. Dan tanpa sebarang sekatan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda