Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rawatan sel stem bantu pulihkan pesakit osteoartritis

    KUALA LUMPUR, 27 MEI – Bermula daripada kecederaan lutut yang menamatkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak amatur pada 2003, Khairul Ikram Kamarul Bahrin mengalami masalah osteoartritis (OA) jauh lebih awal daripada kebiasaan, iaitu pada usia 35 tahun.

    Ketika itu, keadaan lututnya yang sering bengkak berserta rasa sakit yang semakin serius, membuatkan dia berhenti daripada bersukan sekalipun masih mampu berjalan dan melakukan rutin harian lain.

    “Saya mengalami putus ACL (ligamen krusiata anterior) semasa bermain bola. Buat pembedahan, tapi tidak lama selepas itu (ACL) koyak balik. Kali ini lebih teruk dengan rawan dan tulang pun rosak. Sejak itu, lutut saya memang tak sembuh dan tak macam dulu,” kata jurutera perancang itu ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Menurutnya, pada 2020, dia menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) selepas keadaan lututnya bertambah serius, dan keputusan menunjukkan rawan lututnya haus teruk, iaitu gejala OA peringkat awal.

    Hampir dua dekad menanggung derita, janji temu dengan pakar perunding ortopedik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  Prof Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff pada awal 2022 mengubah keadaan Khairul Ikram yang kini berusia 40 tahun.

    Khairul Ikram mengalami rawan lutut haus teruk, iaitu gejala OA peringkat awal. – Bernama

    Osteoartritis lutut ialah penyakit sendi degeneratif yang sering berlaku dalam kalangan warga emas, tetapi kini semakin banyak dikesan pada golongan muda yang aktif secara fizikal. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 250 juta orang di seluruh dunia mengalami OA dengan lutut menjadi antara sendi paling kerap terjejas.

    Antara faktor penyumbang termasuk obesiti, kecederaan sukan, sejarah genetik serta penggunaan sendi yang berlebihan. Rawatan lazim termasuk ubat tahan sakit, fisioterapi, suntikan kortikosteroid atau asid hialuronik, dan dalam kes kronik, pembedahan penggantian sendi.

    Tahap osteoartritis, sejenis penyakit sendi degeneratif pada lutut tetapi kini semakin banyak dikesan pada golongan muda yang aktif secara fizikal. – Gambar free3d

    Namun, bagi pesakit muda yang masih aktif dan tidak bersedia untuk menjalani pembedahan penukaran sendi lutut palsu, pilihan rawatan berkesan adalah terhad. Sekiranya dibedah, pesakit mungkin tidak dapat duduk bersila atau duduk di atas lantai. Tambahan lagi, pembedahan kali kedua harus dijalani selepas 15 tahun bagi menggantikan sendi lutut palsu yang haus.

    Dari masalah berkenaan, muncullah rawatan regeneratif seperti sel stem yang dirintis oleh Dr Badrul Akmal Hisham.

    Pada 2016, penyelidik dan profesor di Fakulti Perubatan UKM ini memulakan usaha mengkaji penggunaan sel stem mesenkimal daripada tali pusat untuk rawatan penyakit ortopedik, khususnya OA lutut.

    “Sel stem mempunyai potensi besar untuk merangsang pertumbuhan semula rawan yang rosak, sekali gus membantu membaiki fungsi sendi tanpa perlu melalui pembedahan penggantian sendi invasif,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

    Dr Badrul Akmal Hisham (tiga dari kanan) dalam satu acara rasmi.- Bernama

     Kajian beliau meletakkan UKM sebagai institusi pertama di Malaysia yang berjaya menjalankan ujian klinikal rawatan regeneratif menggunakan sel stem mesenkimal ke atas enam pesakit dalam tempoh 2016 hingga 2018 dengan hasil yang sangat memberangsangkan.

    “Kesemua pesakit telah menunjukkan pemulihan ketara, yang membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka tidak lagi perlu bergantung pada ubat penahan sakit dan dapat mengelakkan pembedahan penggantian sendi,” kata Dr Badrul Akmal Hisham.

    Jelasnya, prosedur itu melibatkan pembedahan di bahagian lutut yang terjejas dan disusuli suntikan sel stem di bahagian tersebut selepas dua minggu pembedahan dijalankan.

    “Tempoh pemulihan biasanya bergantung pada tahap kecederaan mereka. Jika terlalu serius, maka masa lebih lama diperlukan untuk sembuh,” jelas beliau.

    Rawatan berkenaan yang menggunakan sel stem daripada tali pusat menawarkan alternatif rawatan yang berpotensi menggantikan atau menunda keperluan pembedahan penggantian sendi bagi pesakit osteoartritis lutut.

    HCTM, sebagai hospital akademik di bawah UKM, memainkan peranan penting dalam memperkasa inovasi rawatan sel stem bagi menyokong potensi pelancongan kesihatan, kata Dr Badrul Akmal Hisham.

    Tambah beliau, hal itu juga seiring dengan misi HCTM  untuk menyediakan rawatan berasaskan bukti yang selamat dan inovatif, selari dengan piawaian antarabangsa serta membangunkan pusat rujukan serantau dalam bidang perubatan regeneratif. 

    Kejayaan ujian klinikal tersebut membuka peluang bagi peluasan akses rawatan sel stem kepada lebih ramai pesakit di Malaysia. Namun, untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan rawatan ini secara meluas, aspek seperti kos rawatan, kelulusan regulatori serta infrastruktur perubatan perlu diambil kira.

    Pada masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa walaupun keputusan yang menggalakkan bagi pesakit dengan osteoartritis tahap awal hingga sederhana diperolehi, namun rawatan tersebut bukanlah penyelesaian untuk semua kes.

    “Walaupun rawatan ini menjanjikan kesan positif bagi banyak pesakit muda seperti dalam kes Khairul Ikram, kami perlu berhati-hati dalam memilih kes yang sesuai. Kejayaan rawatan bergantung pada tahap kerosakan sendi dan komitmen pesakit terhadap fisioterapi serta gaya hidup sihat selepas rawatan,” jelasnya.

    Menurut Dr Badrul  Akmal Hisham lagi, HCTM kini dalam proses menjalankan lebih banyak kajian klinikal untuk mengkaji keberkesanan rawatan itu dalam jangka panjang dan untuk pelbagai tahap kerosakan sendi.

    “Ini adalah rawatan yang sangat berpotensi dan kami berharap ia dapat membantu lebih ramai pesakit di masa depan untuk mengelakkan pembedahan invasif yang lebih besar dan lebih berisiko,” tambah beliau.

    “Oleh itu, harapan utama kami agar rawatan ini dapat menjadikan Malaysia sebagai hab rawatan sel stem terkemuka di rantau Asia Tenggara, menarik pelancong kesihatan dari negara jiran dan antarabangsa yang mencari rawatan berteknologi tinggi pada kos yang kompetitif,” tambah beliau lagi.

    Bagi Khairul Ikram pula, kejayaan rawatan itu bukan sekadar membolehkan dia kembali bersukan, bahkan sebenarnya turut memulihkan semangat dan keyakinan diri yang lama hilang.

    “Bola sepak bukan sekadar hobi, tapi sebahagian daripada hidup saya. Bila saya tak boleh main, saya rasa sedih sangat. Tapi selepas rawatan ni, saya rasa macam diberi peluang kedua, dan saya tidak pernah berhenti bersyukur,” ujarnya. – Bernama

    Kecederaan ACL boleh berlaku semasa aktiviti bersukan. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda