Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Bekas pekerja Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) gagal dalam rayuannya untuk mendapatkan pengurangan hukuman apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menambahkan hukuman daripada 14 bulan kepada tiga tahun penjara.
Hakim Dato Paduka Steven Chong dalam memutuskan rayuan memihak kepada hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Suriana binti Haji Radin yang mengemukakan bahawa hukuman 14 bulan penjara yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap Mohd Azam Zaki bin Haji Mohd Zain tidak mencukupi.
Mohd Azam Zaki yang berjawatan penjadual di Jabatan Operasi Barat BSP sebelum ini didapati bersalah kerana melakukan penipuan bersama Chieu Vun Thian iaitu Pengarah Urusan Syarikat Voon Hua Hardware Sdn Bhd.
Sekitar September 2008, mereka menipu BSP supaya membeli 22 set Master Toolset Proto 99663 termasuk kabinet sehingga BSP mengeluarkan tempahan pembelian kepada Syarikat Voon Hua Hardware Sdn Bhd untuk membekalkan set-set tersebut.
BSP telah meluluskan pembayaran sebanyak dua kali, masing-masing pada jumlah $133,000 dan $21,000 kepada syarikat tersebut. Bagaimanapun, syarikat itu telah membekalkan set yang berbeza dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam tempahan pembelian.