Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Mahkamah Rayuan baru-baru ini menolak permohonan untuk mengurangkan hukuman daripada seorang lelaki yang disabitkan kesalahan merogol anak sepupunya.
Pada 6 Disember 2021, di Mahkamah Tinggi, perayu mengaku bersalah atas empat kesalahan seksual terhadap anak perempuan sepupunya, termasuk satu pertuduhan merogol, satu pertuduhan mendorong seseorang di bawah umur 16 tahun menonton video lucah dan dua pertuduhan tambahan rogol. Dia dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 24 sebatan.
Mahkamah Rayuan mengatakan hukuman itu menekankan empat faktor yang memburukkan, iaitu umur mangsa yang masih muda, kehilangan kepercayaan dan amanah oleh perayu, kesalahan berulang dan memandangkan perayu adalah seorang pegawai polis semasa dia melakukan kesalahan itu.
Perayu, berumur 44 tahun, merayu hukuman dikurangkan atas alasan keluarganya akan mengalami kesusahan tanpa sokongannya. Mahkamah bersimpati terhadap isteri perayu dan anak-anaknya yang masih kecil tetapi menekankan bahawa kesusahan keluarga tidak boleh mempengaruhi hukuman atas kesalahan berat.
Hukuman tersebut dianggap wajar dan tidak bersifat keterlaluan oleh mahkamah.
“Gabungan kesalahan perayu yang merogol mangsa pada usia sembilan tahun, pengulangan kesalahan selama beberapa tahun, kehilangan kepercayaan oleh ibu bapa mangsa dan status perayu sebagai pegawai polis mewajarkan hukuman berat,” kata mahkamah.
“Kesalahan yang dilakukan selama beberapa tahun terhadap seorang kanak-kanak perempuan, berkemungkinan menimbulkan trauma psikologi,” tambah Mahkamah Rayuan.