PUTRAJAYA, 8 DIS – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Najib, 68, adalah bekas perdana menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.
Panel itu bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, yang menurut peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan difailkan hari ini.
Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.
Prosiding hari ini dijalankan melalui sidang video berikutan Ahli Parlimen Pekan itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif COVID-19.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Abdul Karim berkata mahkamah mendapati tiada kekhilafan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila memutuskan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib.
Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Hakim Abdul Karim berkata pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke akaun Najib tidak diklasifikasikan sebagai kepentingan negara. – Bernama
