Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Rayuan pencuri bersiri terhadap hukuman penjara lima tahun, dua bulan berserta dua sebatan telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong.
Bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Hakim Michael Peter Burrell pada 23 November, mahkamah melihat tiada merit dalam permohonan Adib Sufri bin Mohd Asri.
Mahkamah menimbang hujahan responden Pendakwa Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli terhadap defendan, termasuk fakta kes yang memburukkan.
Dalam kes itu, Adib Sufri memandu ke sebuah rumah di Kampung Sungai Hanching pada awal pagi 22 Januari lalu di mana dia telah memecah masuk dan melarikan barangan bernilai lebih $2,600.
Penghuni rumah sedang pergi bercuti, tetapi seorang jiran menyedari pintu dapur dibiarkan terbuka.
Jiran itu melaporkan kepada pemilik rumah, dan selepas memeriksa rumah itu mendapati ia telah digeledah.
Satu laporan polis telah dibuat.
Pada 16 Februari lalu, Adib Sufri memecah masuk sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas di mana dia mencuri wang tunai $300 dan barangan peribadi termasuk gajet bernilai $3,900.
Malam berikutnya, Adib Sufri merompak pejabat sementara di Kampung Manggis Satu di mana dia mencuri wang tunai dan barangan lain.
Mahkamah rayuan mengambil faktor kepelbagaian kesalahan yang dilakukan dalam tempoh yang singkat dan lima sabitan berkaitan kecurian sebelum ini yang dilakukan oleh Adib Sufri antara 2017 dan 2019.


