Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rayuan penipu ‘skim pelaburan berlian’ ditolak

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Mahkamah Tinggi Sabtu lalu menolak rayuan oleh pesalah menipu, kerana tidak mempunyai alasan yang kuat dan mendapati kesalahan yang dilakukan adalah lebih teruk.

    Mohamad Azri Al Azhar bin Edham Khalid didapati bersalah selepas perbicaraan atas 12 pertuduhan menipu dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, yang dilakukan sepanjang beliau menjadi konstabel polis.

    Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong berkata bahawa ‘tiada ruang untuk kelakuan jenayah yang memalukan oleh seorang pegawai polis yang diamanahkan untuk mencegah jenayah’.

    Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff mendedahkan bahawa perayu melakukan kesalahan itu pada April dan Jun 2018 semasa dia menjadi konstabel polis.

    Dia menggunakan aplikasi media sosial Facebook untuk meyakinkan tiga orang mangsa untuk memberikan wang mereka yang berjumlah antara $100 hingga $10,000, dan keseluruhannya mencecah $30,700 untuk melabur dalam skim palsu termasuk ‘Pelaburan Mingguan Berlian’ yang menjanjikan pulangan luar biasa sehingga $6,000 setiap minggu untuk pelaburan sebanyak $10,000.

    Gambar Freepik

    Ketua Hakim Negara menyatakan pengecualian di mana salah seorang mangsa menerima ‘keuntungan’ bernilai $1,600. Perayu akan membuat alasan untuk tidak membayar apabila mangsa meminta wang mereka.

    Dia kemudian membuat tiga transaksi pada Jun 2018 di mana dia memasukkan sejumlah $5,600 ke dalam akaun bank isterinya.

    Aduan dibuat kepada polis yang mana siasatan seterusnya membawa kepada penahanannya.

    Perayu memberi alasan bahawa rayuannya dibuat disebabkan oleh kesusahan yang ditanggung oleh keluarganya kerana hukuman pemenjaraannya, yang mana menurut Ketua Hakim Negara ia tidak mempunyai alasan kuat sama sekali.

    Bagi kesalahan itu, Ketua Hakim Negara menekankan bahawa perayu telah menuntut dibicarakan dan bahawa dia sebagai seorang anggota polis yang biasanya dipercayai oleh orang awam, boleh terhakis jika perbuatan jenayahnya dibiarkan tanpa kawalan.

    Ketua Hakim Negara turut mengekalkan perintah kepada perayu untuk membayar pampasan kepada ketiga-tiga mangsa berjumlah $29,100, atau menjalani hukuman penjara dua bulan dan dua minggu sekiranya gagal membayarnya.

    Pencegahan mesti menjadi pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman dan hukuman berat yang dikenakan demi kepentingan awam, kata Ketua Hakim Negara yang mengekalkan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan kepada perayu di Mahkamah Rendah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda