Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Mahkamah Tinggi hari ini, telah menolak rayuan pesalah dadah terhadap hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan ke atasnya, dengan alasan bahawa dia memiliki banyak rekod dalam kesalahan curi.
Abdul Aziz bin Haji Ali mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 9 Disember 2020 atas pertuduhan mengambil metilamfetamin.
Dalam permohonan rayuannya baru-baru ini, dia merayu agar hukumannya diganti kepada perintah pemulihan.
Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong memberikan pertimbangan kepada permohonan itu walaupun terdapat kelewatan mengemukakannya.
Selaku responden, Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin membantu mahkamah bagi sabitan kesalahan Abdul Aziz sebelumnya.
Abdul Aziz melakukan kesalahan terakhir pada 3 Oktober 2019 dan sebelumnya disabitkan atas kesalahan serupa pada 1994.
Ketua Hakim Negara mengatakan bahawa selang waktu yang panjang antara sabitan tidak mencukupi untuk membenarkan tidak menjatuhkan hukuman minimum mandatori penjara tiga tahun.
Perayu merupakan lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan dengan memiliki rekod 32 sabitan kesalahan yang berkaitan dengan pencurian.
Ketua Hakim Negara juga mengambil kira bahawa tertuduh sudah menjalani hukuman penjara lima tahun dan empat bulan kerana mencuri ketika dia disabitkan atas kesalahan dadah yang terbaharu.