Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Mahkamah Rayuan pada 18 Jun lalu menolak rayuan untuk mengurangkan hukuman yang dijatuhkan terhadap Muhammad Syakirin bin Haji Hamdani, yang disabitkan atas beberapa kesalahan pecah masuk.
Diketuai oleh Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong, bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Edward Timothy Starbuck Woolley, mahkamah mengekalkan hukuman asal yang dijatuhkan oleh Mahkamah Perantaraan.
Dalam mempertimbangkan permohonan itu, mahkamah meneliti keadaan kes di mana mereka mendapati rekod jenayah Muhammad Syakirin termasuk beberapa kesalahan serius.
Pada 24 Mei 2022, dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Kanun Hukuman Jenayah iaitu dua pertuduhan pecah rumah untuk melakukan kecurian di bawah Seksyen 454, dan satu pertuduhan pecah rumah pada waktu malam untuk melakukan kecurian di bawah Seksyen 457. Hakim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat kali sebatan.
Kejadian pertama berlaku anta-ra petang 31 Mac dan pagi 1 April 2020, apabila Muhammad Syakirin memandu ke Airport Mall dan menceroboh kedai dron dengan memotong kunci pintu masuk.

Dia mencuri pelbagai bara-ngan bernilai lebih $9,000 dan membawanya pulang ke rumah. Walaupun pemilik kedai membuat laporan polis, namun tiada tangkapan dibuat ketika itu.
Hampir tiga bulan kemudian, pada malam 25 Jun 2020, Muhammad Syakirin menyasarkan sebuah kedai menjual kereta kawalan jauh di Batu Bersurat. Menggunakan kaedah yang sama, dia memotong kunci pada gril keselamatan dan mencuri sejumlah besar barangan.
Jenayah terbaharu dilakukan pada pagi 3 April 2022 apabila dia kembali ke kedai dron sama yang pernah dicurinya sebelum ini. Kali ini, dia memecah masuk dengan memotong selak pintu besi menggunakan playar dan mencuri barangan bernilai lebih $9,000, berserta wang tunai $189. Perbuatannya dirakam CCTV, membawa kepada penahanan pada akhirnya.
Muhammad Syakirin mempunyai sejarah tingkah laku jenayah, dengan sabitan terdahulu termasuk dua kerana mencabul kehormatan pada 2012 dan satu kerana mencuri pada 2016.
Ketika menjatuhkan hukuman kepadanya atas kesalahan terkini, hakim mempertimbangkan sabitan terdahulu berkenaan dan mengambil pendekatan tegas.
Pada rayuan itu, Muhammad Syakirin berhujah bahawa pemenjaraannya akan menyebabkan kesukaran yang besar kepada anak-anaknya. Pendakwa Raya Syazwani binti Haji Jumat menentang rayuan itu, menekankan keterukan dan sifat berulang jenayah yang dilakukannya.
Mahkamah Rayuan mengakui bahawa kesusahan keluarga adalah akibat biasa daripada pemenjaraan tetapi menyatakan bahawa ia jarang mempengaruhi kesesuaian hukuman.
Para hakim menekankan betapa seriusnya kesalahan berulang Muhammad Syakirin dan sabitannya sebelum ini. Mereka mendapati bahawa hukuman yang dikenakan adalah dalam julat yang sesuai untuk jenayah tersebut dan membuat kesimpulan bahawa jumlah hukuman itu tidak salah pada dasarnya dan tidak berlebihan.

