Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Mahkamah Tinggi, di sini, baru-baru ini, telah memberi masa tambahan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun untuk melunaskan denda yang dikenakan kerana memiliki rokok seludup.
Pada 6 Ogos lalu, kira-kira 4:50 pagi, Biro Kawalan Narkotik dan pegawai kastam telah membuat pemeriksaan ke sebuah rumah di Sungai Bunga dan mendapati Muhammad Saifuddin bin Abdullah Samat memiliki 106 bungkus rokok.
Semasa penyiasatan dijalankan, tertuduh mengaku bahawa rokok-rokok tersebut adalah miliknya.
Pada November 2020, tertuduh mengaku bersalah kerana memiliki rokok dan diarahkan untuk membayar denda berjumlah $8,500 atau akan berhadapan dengan hukuman penjara selama lapan bulan jika gagal membayarnya.
Mahkamah Majistret memberikannya masa untuk melunaskan denda tersebut sebelum Mac 2021 bagaimanapun, perayu memohon untuk diberikan masa tambahan bagi membayar denda yang dikenakan.
Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud menjawab rayuan tersebut dengan menyatakan bahawa hukuman dan tempoh yang diberikan oleh mahkamah adalah tepat.
Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong membenarkan penambahan masa tersebut tetapi menggarisbawahi agar perayu memenuhi ansuran bulanan $500 yang berkuat kuasa mulai akhir bulan ini, atau jika gagal akan menjalani hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta.