BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Syarikat Penerbangan Diraja (RB) kini sedang memantau perkembangan berkaitan dengan wabak koronavirus di Wuhan, China dalam usahanya untuk mengutamakan keselamatan kru dan penumpangnya.
Menurut kenyataan daripada RB di sini, hari ini, syarikat berkenaan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meminimumkan penyebaran koronavirus dan mengambil langkah proaktif termasuk pemeriksaan penumpang di lapangan terbang dan langkah-langkah keselamatan lainnya.
Sehubungan itu, RB telah melaksanakan beberapa penggantungan dan penggabungan penerbangan dari Tanah Besar China dan Hong Kong sehingga 29 Februari 2020.
Penerbangan Brunei – Beijing akan dikurangkan kepada empat penerbangan seminggu untuk tempoh 1 hingga 10 Februari. Manakala pada 11 hingga 29 Februari pula semua penerbangan adalah digantung. Penerbangan Brunei – Shanghai pula digantung bermula 1 hingga 29 Februari 2020, penerbangan Brunei – Hong Kong dikurangkan kepada lima penerbangan seminggu untuk tempoh 1 hingga 29 Februari 2020.
Penerbangan Brunei – Haikou pula digantung untuk tempoh 30 Januari hingga 29 Februari, penerbangan Brunei – Nanning pula digantung bermula 3 hingga 29 Februari, penerbangan Brunei – Changsha digantung bermula 2 hingga 29 Februari 2020. Manakala penerbangan Brunei – Hangzhou pula digantung bermula 5 hingga 29 Februari.
Syarikat penerbangan itu juga menjalankan satu set prosedur operasi standard untuk mengendalikan setiap penerbangan, pelbagai kecemasan perubatan termasuk penyakit berjangkit yang berpotensi.
Sementara dalam pesawat pula, RB akan menyediakan sungkup muka dan sanitasi untuk kes-kes kecemasan sahaja. Disinfeksi kabin pesawat tambahan telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif oleh RB.
Penumpang dan anak kapal yang merasa tidak sihat dan telah pergi ke China baru-baru ini dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan perubatan, dan melaporkan sejarah perjalanan mereka.
RB kini juga sedang menyediakan beberapa alternatif bagi tempahan yang terjejas akibat perubahan ini dengan pengaturan penerbangan alternatif atau memberikan bayaran balik sepenuhnya.
Destinasi tertentu dalam rangkaian laluan RB telah mengenakan larangan perjalanan untuk tetamu berdasarkan kewarganegaraan, bandar asal atau sejarah perjalanan dan isyarat perjalanan untuk perjalanan yang tidak penting. Para penumpang juga disarankan untuk menyemak dengan kerajaan, kedutaan atau pesuruhjaya yang tinggi sebelum melakukan perjalanan.
Berikutan dengan perubahan ini, RB juga menasihatkan agar para penumpang yang berada di China untuk mematuhi pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dan pihak berkuasa dan kesihatan, dan menghubungi misi diplomatik masing-masing di tanah besar China untuk mendapatkan bantuan.