Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Royal Brunei Airlines (RB) telah berjaya mengadakan acara “Motorcycle Charity Ride” buat kali ketiga, baru-baru ini, iaitu sebuah inisiatif yang menggabungkan semangat bermotosikal dengan nilai murni untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Inisiatif ini dicetuskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Haji Abdul Hamid, yang mencerminkan komitmen berterusan syarikat penerbangan itu terhadap tanggungjawab sosial korporat dan penglibatan dalam komuniti.
“Melalui inisiatif ini, kami ingin menyatukan kakitangan dan rakan-rakan kerjasama untuk menyumbang kepada masyarakat, menunjukkan bahawa setiap usaha kecil mampu memberikan perubahan besar kepada mereka yang memerlukan,” ujar Kapten Sabirin.
Konvoi amal tersebut telah menghimpunkan kakitangan RB, rakan-rakan kerjasama serta peminat motosikal tempatan untuk menjelajah beberapa laluan yang bermula di RB Campus, Jalan Kustin, yang berakhir dengan pengagihan barangan keperluan kepada lapan keluarga kurang berkemampuan di daerah ini.
Persinggahan pertama konvoi amal bermula di kediaman dua penerima, iaitu Mohd Norfaisal bin Mohd Julai dan Dayang Noraliza di Rumah Teres RPN Lambak Kanan, sebelum diteruskan ke kediaman penerima di STKRJ Lambak Kiri, Perpindahan Burung Pinggai Berakas, STKRJ Kampung Rimba dan Kampung Bunut.

Setiap hentian melambangkan rasa prihatin dan sokongan RB terhadap komuniti setempat, selaras dengan tema Majlis Ilmu tahun ini ‘Negara Ditanai Dengan Sedekah’.
Peserta kemudiannya menikmati makan tengah hari di sebuah pondok nelayan tempatan di sepanjang Jalan Kota Batu, sebagai tanda sokongan RB terhadap usahawan dan perniagaan kecil tempatan yang merupakan antara tunjang ekonomi Brunei.
Konvoi kemudian diteruskan ke Kampung Mentiri dan diakhiri di Kampung Luagan Duduk, Tutong bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima terakhir.
Acara ini menjadi simbolik kepada semangat kebersamaan, kemurahan hati, dan tujuan murni, sekali gus mencerminkan nilai korporat RB iaitu kasih sayang, kepimpinan, keikhlasan dan tanggungjawab sosial.
Dengan setiap kilometer yang dilalui dan senyuman yang dikongsi, Royal Brunei Airlines menegaskan bahawa perjalanan mereka bukan sahaja untuk menghubungkan destinasi, tetapi juga menyemai kebaikan dan keberkatan dalam komuniti.

