Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Royal Brunei Airlines (RB) mengalu-alukan seramai 16 ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi sesi dialog yang berlangsung di RB Collaboration Hub, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RB, di sini, sesi berkenaan diketuia oleh Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Haji Abdul Hamid bersama-sama pengurusan eksekutif dan wakil-wakil daripada Bahagian Komersial.
Sesi berkenaan merupakan sebahagian darupada komitmen berterusan RB kepada ketelusan, kolaborasi kebangsaan serta aspirasi bersama dalam memajukan sektor pelancongan dan penerbangan Brunei.
Semasa sesi berkenaan, RB menyampaikan taklimat korporat mendalami yang mengetengahkan transformasinya sejak 2019 dan pemulihan pasca pandemik, kedudukannya sebagai syarikat penerbangan kebangsaan dan duta jenama bagi Brunei, pelaburannya dalam bakat Brunei dan perantisan kejuruteraan, pengembangan berterusnya ke dalam pasaran dan laluan baharu termasuk Balikpapan, Beijing dan Chennai serta inovasi dalam produk dan perkhidmatan termasuk RB Skyshop, RB SkySavour dan RB Learning Academy.
Ahli-ahli MMN mengemukakan beberapa soalan yang berkaitan termasuk usaha RB untuk kekal sebagai syarikat penerbangan pilihan bagi warga tempatan dan pelawat antarabangsa, peranan RB dalam mempromosikan sektor pelancongan negara serta isu-isu dan cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh RB.
Pasukan RB memberikan respons yang jelas dan optimistik mengesahkan kedudukannya untuk mengutamakan pengalaman tetamu menerusi hospitaliti Brunei mesra, mengukuhkan kesalinghubungan kepada pasaran utama yang selaras dengan matlamat pelancongan dan perdagangan Brunei, berkerjasama secara aktif dengan pihak berkepentingan negara termasuk Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, BEDB dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri serta meletakkan Brunei sebagai sebuah hab transit butik, menawarkan pengalaman pelancongan aman dan lancar.
Sesi berkenaan berakhir dengan semua peserta sesi bersetuju untuk menghubungkan Brunei kepada dunia secara berkerjasama.