Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB bantu pusat panggilan emas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Dengan peningkatan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah berganding tenaga bersama Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS) Brunei untuk membantu memudahkan Kementerian Kesihatan dalam menghubungi pesakit-pesakit yang diuji positif bagi COVID-19.

    Kakitangan RB akan bekerja di samping EMAS dan sukarelawan di pusat panggilan di kemudahan Respons Kecemasan RB di mana pusat berkenaan mula beroperasi pada 27 Ogos lalu.

    Pasukan Panggilan EMAS (ECT) merangkumi paramedik EMAS, sukarelawan RB, Sukarelawan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pegawai-pegawai kerajaan daripada pelbagai agensi kerajaan serta pelajar-pelajar Politeknik Brunei, di mana mereka menghubungi dan menyaring pesakit-pesakit yang menanti bagi pengangkutan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan dan pusat-pusat pengasingan yang lain.

    Penglibatan RB bukan sahaja dari segi sukarelawan dan peruntukan kemudahan pusat panggilan, telah menjadikan proses saringan berkenaan lebih efisien dengan ECT beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

    Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Haji Khalidkhan bin Haji Asmakhan berkata, sebagai penerbangan kebangsaan, amat penting bagi RB untuk menyokong negara dengan apa cara yang mampu.

    Sukarelawan yang bertugas di Pusat Panggilan RB. – Gambar serahan RB

    “Pusat respons kecemasan kami, dilengkapi dengan pusat panggilan khusus, akan membolehkan RB untuk mengurangkan bebanan panggilan bagi Kementerian Kesihatan.”

    Ulasnya lagi, “Saya amat bangga dengan usaha kakitangan di RB yang telah menunjukkan keinginan untuk membantu negara pada masa ini.

    “Pasukan sukarelawan kami, yang dilengkapi dengan kemahiran bantuan kecemasan asas dan kemahiran orang, adalah terlatih untuk berkhidmat dalam kecemasan, membolehkan mereka peralihan mudah untuk dikerahkan bagi kerja-kerja kesukarelawan.”

    Selain daripada pusat panggilan itu, sejak bermulanya pandemik pada April 2020, pasukan-pasukan kakitangan RB telah melakukan kerja sukarela di pelbagai tugasan barisan hadapan di seluruh negara termasuk Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, klinik-klinik, pusat-pusat sumbangan, Talian 148, pengesanan kontak, pusat-pusat vaksinasi, pusat-pusat kuarantin dan pengasingan serta juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    RB juga aktif dalam pengangkutan peralatan kepada pusat-pusat berkenaan menggunakan kenderaan-kenderaan RB.

    Sejak setahun yang lalu, RB juga menyokong negara dengan menerbangkan barangan keperluan seperti bekalan perubatan dan makanan dari destinasi utama untuk mengekalkan aliran bagi memastikan jaminan bekalan.

    RB juga melaksanakan beberapa penerbangan penghantaran balik ke pelbagai destinasi termasuk Wuhan, London, Kuala Lumpur dan Kaherah.

    Pada Jun 2021, RB telah menukarkan A320NEO kepada sebuah pesawat kargo-dalam-kabin bagi memanfaatkan pertumbuhan dalam operasi kargo.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda