Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Chubb dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mengumumkan kerjasama untuk menawarkan insurans perjalanan kepada penumpang syarikat penerbangan itu.
Perkongsian itu telah dilancarkan di Brunei dengan lebih banyak negara dan wilayah akan menyusul dalam fasa berikutnya. Insurans perjalanan Chubb menawarkan perlindungan yang luas untuk kemalangan, perbelanjaan perubatan luar negara yang tidak dijangka (termasuk perlindungan perubatan COVID-19) dan kesulitan perjalanan (termasuk kehilangan bagasi, dokumen perjalanan dan pembatalan perjalanan).
Di samping itu, penumpang akan mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan dan perjalanan yang disediakan oleh talian hotline 24 jam Bantuan Chubb, sekiranya mereka memerlukan bantuan atau nasihat semasa perjalanan mereka.
Faedahnya disesuaikan untuk memenuhi keperluan setiap pengembara dan mereka hanya boleh menambah insurans perjalanan semasa proses tempahan penerbangan dalam talian mereka di laman web RB.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid berkata, “Di RB, kami berhasrat untuk menawarkan penumpang dengan pengalaman yang lengkap dan lancar, daripada tempahan tiket hingga ke penghujung perjalanan mereka. Perkongsian dengan Chubb ini datang pada masa yang tepat untuk memberikan penumpang kami ketenangan fikiran dan pengalaman tempahan yang lancar bagi perjalanan mereka yang akan datang.
“Dengan situasi sempadan terbuka pada masa ini, dan kekurangan kakitangan dalam industri pelancongan secara global, kerjasama RB dengan Chubb diadakan tepat pada masanya untuk menyediakan penyelesaian bagi menguruskan sebarang gangguan yang mungkin dihadapi oleh penumpang kami, yang berada di luar kawalan syarikat penerbangan.
“Selain harga insurans perjalanan yang kompetitif, bantuan 24/7 dan perlindungan untuk COVID-19, penumpang boleh membeli insurans perjalanan bersama-sama dengan tiket penerbangan mereka atau melalui Manage My Booking. Insurans perjalanan kini tersedia untuk pasaran Brunei dan tidak lama lagi akan ditawarkan bagi pasaran kami yang lain,” tambahnya.

