Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB giat laksana aktiviti keagamaan, kebajikan sepanjang Ramadan

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam sama-sama menyemarakkan Ramadan yang mulia ini, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) baru-baru ini telah menyempurnakan beberapa siri acara sokongan masyarakat termasuk Sumbangan untuk Anak-anak Yatim, Majlis Khatam Al-Quran dan RB Family in Need anjuran Jawatankuasa Kebajikan dan Keagamaan syarikat penerbangan tersebut.

    Inisiatif itu sejajar dengan komitmen RB terhadap tanggung-jawab sosial dan penglibatan masyarakat, menggariskan nilai teras kemesraan dan belas kasihan Syarikat RB.

    Siri acara dimulakan dengan pengagihan sungkai kepada kakitangan RB dan pihak berkepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 20 Mac lalu diikuti dengan Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil untuk Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Kubah Makam Diraja pada 25 Mac lalu.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pengerusi RB, bersama-sama pihak pengurusan dan kakitangan RB telah disertai oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang untuk mengetuai bacaan tersebut.

    Sementara itu, RB bersama Sabre Travel Network Brunei baru-baru ini juga telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim bekas kakitangan RB di Tarindak D’Seni diikuti dengan sumbangan, di mana Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid, dan Pengurus Besar Sabre, Awang Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman, menyampaikan sumbangan kepada 42 orang penerima.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menyampaikan sumbangan wakaf kepada wakil masjid di Surau Kampung Piasau-Piasau, Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN RB

    Pada 29 Mac lalu, jawatankuasa tersebut telah menganjurkan inisiatif RB Family in Need, bertujuan untuk menyokong kakitangan semasa dan bekas yang menghadapi kesusahan, di mana Kapten Sabirin dan pasukan Pengurusan Eksekutif RB mengetuai pengagihan barangan kepada 15 penerima.

    Majlis akhir acara amal dan keagamaan RB juga telah diadakan pada 4 April lalu yang diisikan dengan Majlis Khatam Al-Quran di Surau Kampung Piasau-Piasau, Daerah Temburong.

    Majlis tersebut menghimpunkan warga RB dan masyarakat setempat, memperkukuh nilai kebersamaan dan ukhwah beragama khususnya bacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan sekali gus sempena memperingati sambutan Nuzul Al-Quran.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku Timbalan Pengerusi RB; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir; Kapten Sabirin dan ahli Lembaga Pengarah RB; Pemangku Imam Surau Kampung Piasau-Piasau, Haji Mohd Zin bin Haji Kulla; pihak pengurusan dan kakitangan RB, dan penduduk Kampung Piasau-Piasau.

    Seramai 38 warga RB telah menyertai program khatam Al-Quran pada tahun ini yang diketuai oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi RB, Haji Badarudin bin Haji Bagol.

    Selepas bacaan tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyampaikan sumbangan wakaf daripada kakitangan RB kepada wakil masjid.

    RB juga telah menyertai dalam Majlis Iftar Akhbar Permata Hijau Daerah Temburong, kelmarin.

    Majlis itu telah dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam di Pekan Bangar, Temburong. RB telah menyumbangkan 150 pek makanan dan minuman yang diagihkan khas kepada fakir miskin dan mualaf, orang berkeperluan khas, anak yatim, ibu bapa tunggal dan warga emas Daerah Temburong.

    RB turut menyertai kempen Eco-Ramadan anjuran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan di mana kakitangan RB mengambil bahagian untuk mengedarkan 200 beg beli-belah boleh guna semula RB bagi menunjukkan sokongan syarikat penerbangan itu untuk mempromosikan amalan pengguna mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda