Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) melakar satu lagi detik bersejarah apabila diumumkan sebagai pemenang rasmi anugerah, World’s Leading Cabin Crew 2020 semasa Anugerah Tahunan World Travel Awards (WTA) ke-27 yang berlangsung secara maya pada 27 November lalu.
Pengiktirafan berprestij itu dianugerahkan kepada RB setelah syarikat penerbangan kebangsaan Negara Brunei Darussalam menerima jumlah undian yang terbanyak dalam tinjauan pendapat seluruh dunia daripada tetamu, pengembara dan profesional kembara di seluruh dunia. Sebagai pemenang serantau bagi Asia’s Leading Cabin Crew yang diumumkan pada 3 November lalu, RB berjaya memasuki pusingan akhir di mana pemenang-pemenang bagi kategori dunia berprestij telah diumumkan. RB telah bersaing dengan 17 buah syarikat penerbangan lain termasuk syarikat-syarikat penerbangan terkemuka di dunia.
Jenama WTA yang ditubuhkan pada 1993 itu, dikenali serata dunia sebagai penanda aras utama bagi kecemerlangan industri merentas kesemua sektor utama kembara, pelancongan dan hospitaliti.
Sehubungan dengan itu, RB mengadakan Majlis Penghargaan bagi Kru Kabin untuk meraikan pencapaian bermakna di majlis yang berlangsung di Royal Berkshire Polo Club, Jerudong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, ahli-ahli Lembaga RB, tetamu-tetamu khas serta kakitangan RB.


Dalam kata alu-aluannya, Yang Berhormat Dato berkata bahawa kita meraikan satu pencapaian yang bermakna oleh kru kabin RB di pentas global di mana Anugerah World’s Leading Cabin Crew bagi RB menunjukkan apa yang mampu kita capai dengan visi yang jelas serta menerusi kerja keras.
“Mereka telah menetapkan standard industri bagi perkhidmatan yang mereka sediakan kepada jutaan tetamu RB dengan membawa lambang budaya Brunei iaitu hospitaliti mesra sebagai asas setiap usaha yang mereka lakukan.”
Beliau menyatakan bahawa kru kabin dan petugas barisan hadapan RB telah membantu untuk mencapai pengiktirafan tersebut serta juga pelbagai lagi anugerah lain bermakna termasuk rating empat bintang Skytrax dan 70 buah syarikat penerbangan teratas di dunia.
“Kabin kru RB adalah duta terbaik bagi negara kita,” tambah Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Dato berkata sepanjang 46 tahun penubuhan RB sejak ia diperbadankan pada 18 November, syarikat penerbangan kebangsaan itu telah banyak membawa kebanggaan kepada negara. Dinobatkan sebagai pemenang Anugerah World’s Leading Cabin Crew membawa kegembiraan kepada semua warga Brunei.
Manakala itu, Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dipetik menyatakan bahawa Anugerah World’s Leading Cabin Crew dan Asia’s Leading Cabin Crew oleh World Travel Awards, mencerminkan strategi perkhidmatan dan keazaman mereka untuk meletakkan RB sebagai sebuah jenama global yang disegani.
Anugerah itu, katanya lagi, menunjukkan bahawa kita telah memenangi hati dan minda para tetamu dan profesional kembara seluruh dunia serta sebagai tanda penerimaan bagi kerja keras, dedikasi dan perkhidmatan bertaraf dunia yang diberikan selama ini.
Beliau juga menyatakan bahawa memenangi kategori dunia sebagai pemimpin global dalam kru kabin, menandakan bab baharu dalam sejarahnya dan pendiriannya sebagai sebuah syarikat penerbangan unik yang berdiri megah berbanding syarikat penerbangan lain yang lebih besar.