Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB lancar penerbangan langsung ke Tokyo

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Penerbangan langsung pertama ke Tokyo, Jepun menggunakan pesawat A320neo baru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pukul 12:35 tengah malam ini.

    Sehubungan itu, bagi meraikan peristiwa penting berkenaan, majlis makan malam resepsi istimewa telah diadakan di Pusat Kesenian dan Kraftangan, di sini, hari ini sekali gus menandakan pelancaran perkhidmatan penerbangan langsung tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Penerbangan Diraja Brunei (RB), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato.

    Majlis istimewa itu juga dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan, ejen pelancongan, rakan perniagaan dan ramai lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib, TYT Motohiko Kato dan Karam Chand ketika menyempurnakan pelancaran perkhidmatan penerbangan langsung ke Tokyo, Jepun pada majlis makan malam tersebut.

    Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dalam ucapannya berkata, RB amat gembira untuk mengalu-alukan Tokyo sebagai destinasi antarabangsa ke-24 dan menyediakan sambungan ibu negara ke ibu negara dengan pelancaran perkhidmatan penerbangan tanpa henti Tokyo Narita-Bandar Seri Begawan.

    Menurut beliau, penerbangan ke Tokyo berkenaan akan menjadi yang pertama dalam tempoh dua dekad di mana kedua-dua negara dihubungkan secara langsung menerusi perhubungan udara.

    “Ini menandakan peristiwa penting bagi Brunei dan Jepun kerana perkhidmatan baharu ini pastinya akan memudahkan pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua buah negara dan mengukuhkan lagi hubungan erat yang sedia ada.

    “Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan di Brunei, kami mahu memainkan peranan kami dengan menyediakan pelengkap yang dicari-cari menerusi perkhidmatan baharu ke pasaran utama seperti Jepun dan menjadi pemangkin untuk mewujudkan lebih banyak peluang dan kolaborasi antara perniagaan-perniagaan, kerajaan dan rakyat,” tambah beliau.

    Menyentuh mengenai pesawat A320neo yang digunakan bagi perkhidmatan berkenaan, beliau berkata, mereka yakin dengan pilihan berkenaan bagi pasaran-pasaran mereka termasuk pasaran jarak sederhana seperti Tokyo.

    “Ciri-ciri kabin dan keupayaan pesawat membolehkan kami meneroka laluan-laluan baharu yang mengambil masa sehingga tujuh jam yang sebelumnya menjadi domain pesawat rangka besar,” tambah beliau.

    Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Asia bagi Airbus, Jean-Francois Laval dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada RB dengan atas permulaan perkhidmatan komersial menggunakan A320neo baharu Airbus ke salah satu destinasi pelancongan paling terkenal di dunia, Tokyo.

    “Dengan kabinnya yang sangat selesa, kecekapan operasi lebih baik dan keupayaan lebih meluas, A320neo sesuai dengan strategi RB dalam menawarkan perkhidmatan selesa yang premium bagi seluruh rangkaiannya di rantau Asia,” jelas beliau.

    Dengan penerbangan sulung berlepas tengah malam ini, para penumpang diberikan perkhidmatan terkenal syarikat penerbangan berkenaan dan menikmati pengalaman penerbangan yang dipertingkat dalam pesawat moden yang dilengkapi ciri-ciri kabin baharu serta sistem hiburan dalam penerbangan yang tanpa tandingannya dengan lebih daripada 1,000 kandungan hiburan.

    Penerbangan laluan ter-baharu ini dibukakan tiga kali seminggu iaitu Rabu, Jumaat dan Ahad bagi pesawat BI695 yang berlepas waktu tengah malam iaitu penerbangan dari Bandar Seri Begawan ke Tokyo dan BI696 pada hari yang sama dari Tokyo ke Bandar Seri Begawan juga pada waktu pagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda