Tuesday, November 26, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB lancar perasmian laluan penerbangan antara Brunei, India

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi laluan penerbangan terus baharunya antara Bandar Seri Begawan dan Chennai, India.

    Airbus A320neo RB telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai pada 5 November kira-kira jam 22:50 dan disambut dengan semburan air.

    Melalui perhubungan baharu itu menandakan pengembangan yang ketara dalam rangkaian global RB. Ia menandakan satu langkah bersejarah dalam memperkukuh budaya, ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat antara Brunei Darussalam dan India.

    Syarikat penerbangan itu meraikan pelancaran di Chennai melalui beberapa siri acara dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Brunei di India, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), dan Pelancongan Brunei (BT) di ITC Grand Chola di Chennai, bertujuan untuk mengukuhkan perkongsian, mempromosikan Brunei sebagai destinasi unik dan mempamerkan peluang pelaburan untuk perniagaan India.

    Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif RB, Ketua Pegawai Komersial, STIC Travel Group (ejen RB di India) dan wakil BT mengadakan sidang akhbar, di mana mereka memperkenalkan Brunei dan laluan baharu dan menyentuh mengenai kepentingan hubungan yang lebih luas untuk kedua-dua buah negara.

    Kapten Sabirin semasa menyampaikan ucapan pada acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN RB
    Kapten Sabirin, Shri S Vijayakumar dan Shri B. Krishnamoorthy semasa acara memotong kek. – GAMBAR SERAHAN RB
    GAMBAR SERAHAN RB
    GAMBAR SERAHAN RB
    GAMBAR SERAHAN RB
    GAMBAR SERAHAN RB
    GAMBAR SERAHAN RB

    Melalui kerjasama dengan LKEB, satu seminar pelaburan telah dianjurkan untuk pemimpin perniagaan India. Wakil LKEB membentangkan landskap pelaburan Brunei yang menarik merangkumi persekitaran politik yang stabil, infrastruktur moden, dan akses strategik kepada pasaran ASEAN. Sesi tersebut memupuk hubungan antara perniagaan India dan wakil Brunei, mempromosikan perkongsian dalam sektor perdagangan, teknologi serta pelancongan yang penting.

    Dalam pada itu, sebagai kemuncak acara bagi meraikan detik bersejarah itu, Brunei Night telah diadakan bagi mempamerkan kekayaan budaya dan layanan mesra Brunei dengan persembahan tradisional Brunei dan ucapan khas daripada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Laila Utama Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.

    Majlis tersebut turut mempe-ringati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik rasmi antara Brunei dan India, mencerminkan persahabatan dan perkongsian selama beberapa dekad yang telah memupuk pertumbuhan serta persefahaman di kedua-dua buah negara.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Industri, Promosi Pelaburan dan Perdagangan Tamil Nadu, TYT Dr TRB Rajaa; Ketua Cawangan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri di Chennai, Shri S Vijayakumar dan Pengarah Projek, IOFS, Perbadanan Kemajuan Perindustrian Tamil Nadu, Shri B. Krishnamoorthy selaku tetamu kehormat.

    Pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapannya, antaranya menyatakan pelancaran laluan baharu ini lebih daripada sekadar sambungan penerbangan, ia adalah jambatan antara dua negara.

    “Kami teruja untuk membuka peluang baharu untuk pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya antara Brunei dan India. Laluan ini menghubungkan warga Brunei dan tetamu antarabangsa kami ke bandar Chennai yang meriah dan banyak pengalaman ditawarkannya, di samping meningkatkan pilihan perjalanan bagi mereka yang berasal dari India ingin meneroka keindahan Negara Brunei Darussalam yang damai,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda