Saturday, November 2, 2024
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB lancar perkhidmatan SkyShop, SkySavour

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dengan bangganya mengumumkan kejayaan pelancaran dua perkhidmatan baharu yang menarik iaitu RB SkyShop dan RB SkySavour pada majlis penuh eksklusif untuk ahli-ahli Royal Skies Elite yang diadakan di The Country Club, The Empire Brunei, Jerudong, petang ini.

    Majlis itu memperkenalkan perkhidmatan inovatif bagi meningkatkan pengalaman dalam penerbangan untuk para pelanggan RB, dan ia juga menandakan kedua-dua peristiwa penting dalam perjalanan RB sebagai syarikat penerbangan, terutamanya ketika syarikat itu meraikan ulang tahun yang ke-50 pada 18 November ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran dua perkhidmatan baharu itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pengerusi RB.

    Dengan cabaran semasa dalam industri pelancongan di mana permintaan untuk perjalanan semakin meningkat sementara kapasiti masih dalam peningkatan, RB komited untuk terus berinovasi dalam perkhidmatannya bagi mengekalkan daya tarikan untuk meningkatkan tawaran dan memberikan nilai tambah kepada para pelanggan.

    RB SkySavour ialah perkhidmatan pra-pilihan hidangan yang baharu dilancarkan oleh RB bagi menawarkan kemudahan kepada para pelanggan kelas bisnes untuk memilih makanan mereka lebih awal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan Kapten Sabirin pada majlis pelancaran dua perkhidmatan baharu RB. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara yang hadir pada majlis pelancaran perkhidmatan RB SkyShop dan RB SkySavour. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Dengan slogan Select Your Meal, Savour the Taste, Reduce the Waste, RB SkySavour memperibadikan pengalaman menjamu selera dan menyokong komitmen RB terhadap kelestarian dengan membantu mengurangkan sisa makanan.

    Penumpang boleh memilih makanan mereka dari tujuh hari hingga 24 jam sebelum berlepas, memastikan hidangan pilihan mereka sedia untuk dihidangkan sebaik sahaja berada di atas kapal.

    Sementara itu RB SkyShop merupakan perkhidmatan membeli-belah bebas cukai baharu dalam penerbangan baharu RB, menawarkan penumpang pelbagai jenis produk mewah, daripada wangian hingga aksesori elegan.

    Perkhidmatan tersebut membolehkan para pelanggan menikmati pilihan susun atur barangan berkualiti tinggi yang mudah didapati semasa perjalanan mereka.

    Sama ada hadiah untuk orang tersayang atau hadiah peribadi, RB SkyShop membawakan konsep membeli-belah mewah terbaik di langit. RB telah bekerjasama dengan King Power Traveler (KPT), sebuah syarikat terkemuka di Hong Kong, di bawah kontrak konsesi eksklusif untuk RB SkyShop.

    Melalui kerjasama itu, KPT akan menguruskan perkhidmatan bebas cukai dalam penerbangan RB di seluruh kumpulan antarabangsanya, serta menyelia perkhidmatan berbayar cukai untuk penghantaran ke rumah e-dagang, yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat, meningkatkan pengalaman membeli-belah secara keseluruhan untuk penumpang dalam penerbangan dan di rumah.

    Berkongsi pandangan mengenai pelancaran perkhidmatan baharu berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid, berkata di RB, mereka sentiasa mencari cara baharu untuk meningkatkan pengalaman perjalanan untuk para pelanggan.

    Jelasnya, pelancaran RB SkySavour dan RB SkyShop mencerminkan komitmen syarikat untuk pemberibadian dan kemewahan, menawarkan para penumpang lebih banyak kemudahan dan pilihan sementara menyokong matlamat kemampanan syarikat sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

    Sehubungan itu, RB turut mengongsikan ciri-ciri utama bagi RB SkySavour yang kini tersedia untuk para pelanggan kelas bisnes dalam penerbangan jarak jauh terpilih, termasuk Brunei ke Jeddah, Dubai, Melbourne dan Tokyo.

    Menjelang Januari 2025, ia tersedia untuk para pelanggan kelas bisnes pada semua penerbangan kecuali Kota Kinabalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda