BERLIN, 28 MEI – RB Leipzig yang bermain dengan 10 orang terlepas peluang untuk merebut kedudukan kedua Bundesliga kelmarin ketika penyerang Hertha Berlin, Krzysztof Piatek menyamakan kedudukan dengan jaringan dari sepakan penalti pada akhir minit untuk mengikat kedudukan 2-2 di stadium yang ditutup untuk peminat – dan menyelamatkan penjaga gol Rune Jarstein daripada dimalukan.
Piatek, yang menyertai Hertha pada bulan Januari dengan harga sekitar 25 juta euro dari AC Milan, menjaringkan gol keduanya dalam sembilan perlawanan Bundesliga ketika dia merembat masuk sepakan penalti pada minit-82.
“Saya merasa sangat bagus, ia adalah jaringan yang penting bagi saya dan pasukan,” kata Piatek, 24, yang dibawa masuk pada 20 minit sebelum perlawanan berakhir, menggantikan penyerang veteran, Vedad Ibisevic, 35.
Piatek ditugaskan mengambil sepakan penalti sejurus Ibisevic dikeluarkan.
“Saya tidak gembira, saya mahu bermain. Dia berada dalam prestasi yang terbaik, tetapi saya berharap untuk bermain dengan lebih kerap,” tambah Piatek apabila ditanya mengenai hanya menjadi pilihan kedua kepada Ibisevic.
Penyerang Poland itu berjaya memberi satu mata berharga buat pasukan Bruno Labbadia yang memegang rekod tanpa kalah sebagai ketua jurulatih Hertha Berlin ke tiga perlawanan dan menyelamatkan air muka penjaga gol Hertha, Jarstein. Penjaga gol Norway itu melakukan kecuaian apabila dia menampan bola hasil rembatan penyerang Leipzig, Patrik Schick tetapi membiarkan bola terjatuh dari dakapannya dan masuk ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit-68.
Leipzig terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemain pertahanan Marcel Halstenberg telah dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Cunha.
Keputusan tersebut telah meletakkan Leipzig di kedudukan ketiga liga, dua mata di belakang Dortmund dan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich. – AFP
