Thursday, November 21, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB menangi perkhidmatan kabin, kulinari terbaik APEX 2025

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Syarikat Royal Brunei Airlines (RB) telah menerima Anugerah Perkhidmatan Kabin serta Makanan dan Minuman Terbaik di Timur Asia APEX 2025 semasa Majlis Penganugerahan APEX Best in Airlines Awards semasa FTE APEX Asia EXPO yang berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RB, di sini, bahawa berdasarkan kepada lebih sejuta undian penumpang yang disahkan melalui Triplit dari Concur, anugerah berprestij berkenaan meraikan dedikasi RB menyediakan pengalaman kulinari dan perkhidmatan dalam penerbangan luar biasa yang meninggalkan kesan yang berkekalan kepada penumpangnya.

    Acara yang dihadiri oleh para pemimpin daripada serata industri penerbangan global telah menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid menerima anugerah berkenaan bagi pihak RB.

    Penerimaan anugerah sedemikian merupakan bukti dedikasi kru kabin RB yang bekerja tanpa jemu di belakang tabir untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para penumpang.

    “Pengiktirafan ini adalah amat signifikan ketika kita meraikan ulang tahun ke-50, mengukuhkan komitmen kita terhadap kecemerlangan dan semangat ‘Ikhlas,’ yang membimbing setiap bahagian perkhidmatan kita,” ujar Kapten Sabirin.

    Pengiktirafan yang diterima itu turut merupakan satu lagi mercu tanda signifikan sebagai peringatan kepada evolusi RB yang bermula daripada syarikat penerbangan serantau yang kecil kepada sebuah syarikat penerbangan dikenali dunia untuk keikhlasan dalam perkhidmatan yang mencerminkan nilai-nilai hospitaliti ramah Brunei.

    Pada 2024, RB telah mencapai pelbagai mercu tanda termasuk pembaharuan armada menerusi pembelian empat buah pesawat Boeing 787-9, pelancaran perkhidmatan khusus kepada meningkatkan pengalaman tetamu seperti RB SkyShop dan RB SkySavour serta pengenalan destinasi baharu seperti Chennai dan Balikpapan.

    RB juga telah menghoskan beberapa acara signifikan termasuk Sesi IATA Brunei Sustainable Aviation Fuel Capacity Building dan 68th Assembly of Presidents of the Association of Asia Pacific Airlines.

    Selain itu, RB turut diberikan penghormatan dengan anugerah-anugerah lain yang telah diterima seperti Muslim Friendly Airline of the Year oleh Halal E-Travel Awards dan APEX 4-Star Major Airline Rating for 2025.

    Sambil RB meraikan pencapaian signifikan berkenaan, ia kekal menumpukan kepada masa depan, selaras dengan Wawasan 2035, visi kebangsaan Brunei bagi sebuah masa depan yang dinamik serta mampan.

    Kapten Sabirin (tengah) semasa menerima anugerah berkenaan. – GAMBAR SERAHAN RB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda