RB, PAL meterai perkongsian kod

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Pengunjung dari Brunei Darussalam dan Filipina kini boleh membeli penerbangan ke atau dari Cebu melalui Manila dalam satu tiket sama ada dengan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Philippines Airlines (PAL) setelah kedua-dua syarikat penerbangan kebangsaan berkenaan menandatangani perjanjian perkongsian kod Julai lalu.

Penumpang PAL kini dapat membuat perjalanan ke dan dari Bandar Seri Begawan menaiki pesawat-pesawat yang dikendalikan RB di bawah nombor penerbangan PAL, menurut kenyataan yang dikeluarkan RB.

Kenyataan menjelaskan lagi, perjanjian perkongsian kod berkenaan menyediakan lebih pilihan kepada penumpang RB dan PAL untuk membuat perjalanan perniagaan atau pelancongan di antara tiga destinasi utama di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dipetik sebagai berkata, “RB sangat gembira menerima PAL sebagai rakan perkongsian kod kami. Menerusi perkongsian ini, penumpang RB akan mudah mengakses Cebu, bandar tertua Filipina yang kaya dengan budaya dan sejarah, pantai-pantai dan sukan dalam air yang cantik. “Kami sangat mengalu-alukan penumpang perkongsian kod PAL menaiki penerbangan harian kami di antara Manila ke Bandar Seri Begawan dan selanjutnya,” tambah beliau.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi PAL, Jaime Bautista pula berkata bahawa perjanjian perkongsian kod berkenaan menghubungkan semula PAL dengan Brunei yang menempatkan hampir 20,000 orang pekerja Filipina.

“Perkongsian yang diperbaharui dengan RB ini juga mengembangkan rangkaian kami menyokong wawasan kami untuk menjadi syarikat penerbangan lima bintang,” ujarnya lagi.

Menurut kenyataan itu, penumpang di Bandar Seri Begawan boleh membeli tiket daripada Pusat Perkhidmatan Pelanggan RB atau mana-mana ejen pelancongan. Penumpang di Filipina pula boleh membelinya daripada pejabat Manila RB, pejabat-pejabat tiket PAL atau mana-mana ejen pelancongan.