Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB sekat MacBook Pro 15 inci

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Sebagai langkah keselamatan dan pencegahan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) menyekat penggunaan semua model-model MacBook Pro 15 inci dalam semua penerbangannya.

    RB mengambil langkah berkenaan susulan pengumuman Apple baru-baru ini bahawa beberapa unit MacBook Pro 15 inci generasi lama mungkin boleh menjadi terlampau panas dan mencetuskan risiko kebakaran, menyebabkan penarikan balik bateri peranti-peranti yang terjejas.

    Menurut kenyataan RB, sekatan berkenaan berkuat kuasa serta merta kecuali maklumat diberikan mengesahkan bahawa komputer riba berkenaan bukan model yang terjejas dalam Program Penarikan Balik Bateri MacBook Pro.

    Model-model yang terjejas dijual antara September 2015 dan Februari 2017. Orang ramai boleh mengesahkan sama ada peranti mereka terjejas dengan melayari laman sesawang https://support.apple.com/en-gb/15-inch-macbook-pro-battery-recall.

    Kenyataan menyebut bahawa peranti berkenaan mungkin dibenarkan untuk digunakan dalam penerbangan jika penumpang memberikan bukti pengesahan. Ini termasuk resit pembelian di luar tempoh model-model terjejas, bukti penggantian bateri atau tangkapan skrin daripada laman sesawang sokongan khas Apple yang menunjukkan komputer riba berkenaan tidak termasuk dalam kumpulan nombor siri yang terjejas.

    Penumpang yang membawa MacBook Pro 15 inci tanpa bukti pengesahan hanya boleh membawa peranti berkenaan sebagai bagasi kabin. Bagaimanapun, peranti berkenaan mestilah dimatikan, perlu dilindungi daripada sebarang pengaktifan tidak sengaja (menutup mana-mana ciri yang boleh menghidupkan peranti) dan mengecas peranti berkenaan dalam penerbangan adalah ditegah.

    RB juga menasihatkan penumpang untuk memaklumkan kru kabin serta merta jika peranti mereka rosak, panas, mengeluarkan asap dan hilang atau jatuh ke dalam struktur kerusi.

    Dalam pada itu, RB turut menasihatkan penumpang yang menaiki penerbangan bersambung untuk memeriksa peraturan setiap syarikat penerbangan jika membawa MacBook Pro yang terjejas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda